MISTERI WANITA JERAM PASU
PASIR PUTEH, KELANTAN: AIR TERJUN JERAM PASU sememangnya bermisteri kerana dihuni kalangan makhluk halus yang berkeliaran di kawasan itu. Bagi yang belum pernah bertembung dengan makhluk terbabit, mereka akan menafikannya. Namun, bagi yang pernah bertembung malah dapat melihat kelibat mereka di kawasan yang dimaksudkan, mereka akan berdiam diri kerana mengetahui tentang kebenarannya.
Jeram Pasu, selain terkenal misterinya kerana terdapat tujuh buah pasu yang dikatakan tidak kelihatan pada pandangan mata kasar dan hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja, namun orang-orang tua dahulu tidak menafikannya kerana mereka sendiri ada yang melihatnya. Pasu-pasu tersebut dikatakan laluan masuk dan keluar ke alam mereka (alam jin), malah sehingga hari ini makhluk ghaib itu dikatakan melalui kawasan tersebut untuk bersembang di dunia manusia iaitu di kawasan air terjun Jeram Pasu tersebut.
Pengalaman Wartawan RELATIF ketika berkunjung ke Air Terjun Jeram Pasu ini sebanyak empat kali pada 4.4.2009, 10.9.2011, 12.11.2011 dan terbaru pada 22.3.2014 lalu turut mengalami hal yang sama. Pada tahun 2011 dulu, Penulis sendiri pernah melihat sebuah pasu dan kelibat makhluk halus di kawasan tingkat tiga iaitu hujung air terjun tersebut ketika sedang mandi di sebuah kolam jernih di tempat tersebut.
Malah anak bongsu Penulis (lelaki, iaitu anak keenam) juga dapat melihat sebatang pokok kecil yang meliuk-lintuk seperti melambai-lambai ke arahnya sedangkan pada ketika itu tiada angin yang bertiup ke arah pokok tersebut malah pokok-pokok di sekitarnya. Apabila beliau melihatnya, didapati pokok tersebut adalah seorang budak perempuan dan apabila beliau berpaling dalam beberapa saat sahaja didapati jelmaan budak perempuan itu bertukar menjadi pokok kembali.
Sementara itu, mengingatkan kejadian pada 22.3.2014 lalu, Penulis bersama keluarga (empat orang) sekali lagi datang ke Jeram Pasu untuk berkelah dan santai-santai setelah berita tentang jeram berkenaan ditutup kepada pengunjung berikutan berlakunya "wabak kencing tikus" semenjak akhir tahun 2013. Sebelum ini, kami santai-santai di kawasan jeram berpasir di tingkat satu Jeram Pasu itu sahaja.
Namun, pada tarikh tersebut kami
santai-santai di sebuah kawasan yang agak jauh dari kawasan sebelum ini, di
mana melihatkan keadaan tempat berkenaan memang agak meremang bulu roma, apatah
lagi di kawasan yang dimaksudkan hanya di kawasan pasir yang agak sedikit,
bongkah batu pula yang agak banyak. Sebelum ini juga, kawasan bongkah batu
terbabit sentiasa melayani aliran air jeram yang mengalir ke bawah, tetapi pada
tarikh kehadiran kami ke situ, bongkah batu itu agak kering disebabkan air
jeram agak cetek.
Setibanya kami di kawasan yang
dimaksudkan itu, lazimnya Penulis akan mendahului keluarga untuk melihat
kawasan yang dimaksudkan, adakah sesuai untuk berkelah di kawasan tersebut.
Ketika kami menuruni tebing jeram, tiada apa-apa yang kelihatan. Sehinggalah
Penulis menghamparkan tikar plastik di tebing sebelah sini dan setelah keluarga
Penulis semuanya berkumpul di tempat yang dimaksud, Penulis terlihat satu
bentuk lembaga lelaki di atas tebing di awal kami laluinya ketika itu.
Hanya yang Penulis dapat lihat dari
kepala sehingga paras pinggang sahaja, manakala dari pinggang hingga ke kaki
tidak kelihatan anggota makhluk tersebut. Selang beberapa minit kemudiannya,
Penulis terlihat pula bentuk lembaga (makhluk halus) di atas sebuah bongkah
batu yang dimaksudkan. Tetapi kemudiannya lembaga yang berdiri di atas bongkah
batu itu tiba-tiba menghilang (ghaib). Sehinggalah minit yang berikutnya iaitu
ketika Penulis sedang asyik merakam foto menggunakan telefon pintar Android,
Penulis dapat melihat bentuk lembaga wanita (gadis) yang melangkah dari arah
tikar plastik yang Penulis hamparkan sebelumnya. Bunyi seperti ada sesuatu yang
melangkah bersebelahan tikar plastik itu memang disedari oleh isteri Penulis
yang ketika itu sedang duduk di atas tikar plastik berkenaan, namun ketika
beliau melihat ke arah bunyi tersebut, tiada apa-apa yang berlaku.
Apa yang diketahui, ketika
beberapa keping foto dirakam di kawasan terbabit, terdapat sekeping foto lagi
yang dapat merakam lembaga (kelihatan matanya sahaja), namun tidak kelihatan
tubuh badannya. Bahkan ketika Penulis menghalakan telefon pintar berkamera ke
arah bongkah batu yang dimaksudkan, kelihatan objek (lembaga) dengan agak jelas
sebanyak empat kali, namun apabila dirakam tidak kelihatan lembaga yang
dimaksudkan.
Namun, paling jelas
ialah apabila Penulis dapat merakam foto lembaga wanita berpakaian hitam
sebagaimana yang dilihat oleh Penulis selepas menghamparkan tikar plastik itu.
Tetapi, lembaga terbabit telah berada di seberang tebing. Pada hemat Penulis,
mungkin lembaga terbabit agak terkejut dengan kehadiran kami yang menyebabkan
mereka berpindah ke tempat lain.
Sememangnya, Air Terjun Jeram Pasu adalah tempat dan perkampungan makhluk halus
kerana di hujung jeram itu terdapat tujuh (7) buah pasu yang hanya dapat
dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja. Koloni mereka sentiasa menyusur di antara lorong tingkat satu sehingga tingkat tiga kerana itulah juga laluan dan perkampungan mereka sejak jeram berkenaan dibuka oleh moyang Paksu Mi.
Walaupun jeram berkenaan sentiasa diseliakan dengan sempurna atau tidak, bagi koloni makhluk berkenaan tidak menjadi masalah kerana itulah tempat asal mereka. Mereka tidak akan berpindah ke tempat lain. Bagi pelaku maksiat yang berkunjung ke jeram itu semata-mata untuk melakukan perkara yang tidak senonoh pasti akan bertembung dengan makhluk terbabit, sudahnya mereka akan lari lintang-pukang kerana terkejut. Ketika itulah baharulah mereka sedar tentang kesilapan diri, bahawa mereka tidak berseorangan atau berdua sebaliknya sentiasa dinantikan dan disaksikan oleh segerombolan makhluk ghaib yang berkampung di Air Terjun Jeram Pasu.
Papan tanda menghala ke Air Terjun Jeram Pasu.
Lembaga lelaki yang dilihat Penulis berada di tepi tebing sebelah sana setelah hamparan tikar selesai.
Ketika Penulis di seberang tebing, kelihatan makhluk halus bertenggek di atas batu (bawah) sinar mentari ini.
Ketika melihat dengan kamera, kelihatan makhluk halus di atas batu ini. Tetapi apabila dialihkan kamera dan cuba merakamnya, tiada sebarang objek yang dapat dilihat.
Objek seperti dua biji mata kelihatan dalam timbunan daun-daun kayu dalam air di kolam ini.
Makhluk wanita itu melalui tempat kami menghamparkan tikar (anak panah) dengan pantas.
Jelmaan wanita berkenaan tiba-tiba muncul di seberang tebing kolam tempat kami mandi.
Lorong tingkat satu adalah laluan pengunjung yang mandi-manda di beberapa kolam di Jeram Pasu dan kelibat makhluk halus juga sering berada di kawasan ini.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan