RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 10 Mac 2013

Rezeki Hasil Kelapa


REZEKI HASIL KELAPA

TUMPAT, KELANTAN:  REZEKI tidak datang secara melayang dan tidak juga secara bergolek. Rezeki perlu dicari dengan cara bekerja walaupun pekerjaan itu ternyata agak sukar dan memenatkan, namun tiada lagi cara lain untuk mendapatkannya. Untuk memperolehi makanan dan pakaian serta mendapat kehidupan yang sewajarnya, mencari rezeki sudah menjadi tanggungjawab manusia untuk berbuat demikian. Orang yang malas bekerja yang dianggap sebagai "peminta sedekah" atau "pengemis jalanan" sahaja yang tidak ingin berusaha yang sekadar mengharap simpati orang ramai. Ternyata amat berbeza bagi orang yang mencari rezeki menggunakan tenaga dan anggota empat kerat ini akan lebih mulia berbanding dengan peminta sedekah itu.

Begitu halnya dengan segelintir individu yang mengharapkan "rezeki hasil kelapa" juga jika dilihat kepada kerjaya mereka agak terlalu sukar, bukan sahaja terpaksa menggadaikan nyawa untuk mendapatkan buah-buah kelapa yang letaknya jauh dari penginapan, namun terpaksa pula mengharungi kedalaman sungai yang agak deras di pagi hari dan pekerjaan itu pula dilakukan selepas Subuh untuk mengelakkan berlakunya air surut. Lazimnya, apabila dilakukan selepas Subuh ketika itu air masih pasang dan kerja-kerja berkenaan perlu disiapkan sebelum air surut pada pukul 2.00 hingga 4.00 petang setiap hari.

Dalam hal ini, kehidupan sebagai pembekal kelapa misalnya yang hanya mengharapkan rezeki dari kelapa sebagai salah satu mata pencarian tetap sekeluarga. Buah-buah kelapa ini pula perlu dikumpulkan dan diangkut ke dalam bot yang diambil di kebanyakan pulau-pulau di pesisir Sungai Kelantan seperti Pulau Tongkang, Pulau Beluru, Pulau Seratus dan sebagainya yang letaknya lebih dari 500 meter dari tempat tinggal. Salah seorang yang dimaksudkan, Kamaruddin Abdullah, 56, atau lebih dikenali sebagai Rahim dari Kampung Pulau Tongkang, Tumpat, Kelantan yang turut dibantu oleh isteri dan salah seorang anak perempuannya.

"Kerja sebagai pembekal kelapa ni saya lakukan sejak zaman remaja lagi. Setelah bapa meninggal dalam tahun 1960, saya menyambung tugasnya sehingga hari ini", ujarnya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di Jeti Tanjung Kuala dekat sini.

Katanya, ketika itu beliau masih belum mendirikan rumahtangga lagi. Sebelum mengambil alih sepenuhnya tugas berkenaan dari arwah bapanya, beliau turut membantu meringankan bebanan bapanya dengan memungut kelapa dari beberapa pulau seperti tempat tinggalnya di Kampung Pulau Tongkang dan di beberapa pulau pesisir sungai di mana bekalan kelapa memang tidak putus-putus sejak waktu itu.

Tambahnya, kelapa yang telah dapat dipungut itu akan dikumpulkan terlebih dahulu kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah bot berenjin. Lazimnya kelapa-kelapa berkenaan dibawa ke beberapa tempat di sekitar Tumpat menurut tempahan pembeli kelapa. Biasanya, kelapa berkenaan dibawa ke Jeti Tanjung Kuala yang terletak di Tumpat. Pembeli kelapa dari pelbagai tempat dan daerah datang ke situ untuk membeli kelapa secara borong dengan harga murah dan berpatutan.

Ketika sessi temubual ini, salah seorang pembeli kelapa dari Tanah Merah sedang menunggu untuk memunggah kelapa berkenaan ke dalam sebuah lori miliknya. Lazimnya, kelapa berkenaan dijual kira-kira 5,000 biji. Perjalanan dari Pulau Tongkang ke Jeti Tanjung Kuala berjarak setengah jam perjalanan menggunakan bot berenjin. Beliau menjual kepada pembeli kelapa itu dengan harga RM1.10 (untuk sebiji kelapa) dengan jumlah 5,000 biji untuk seorang pembeli.

"Dari pengalaman saya sebagai pembekal kelapa, tidak pernah berlaku dalam sejarah kelapa yang dibekalkan kepada pembeli kehabisan, apatah lagi di musim kemarau atau di musim banjir", ujarnya apabila ditanya tentang stok buah-buah kelapa berkenaan.

Kata Kamaruddin, lazimnya di sesetengah tempat kelapa dipetik menggunakan khidmat manusia. Namun, dewasa ini cara sedemikian tidak lagi relevan apabila khidmat haiwan pemanjat seperti "beruk" telah digunakan untuk memetik kelapa. Bahkan untuk memetik kelapa yang matang hendaklah dilihat kepada kulitnya yang agak kering dan matang. Ini berdasarkan kepada pengalamannya bertahun-tahun sebagai pemungut dan pembekal kelapa sejak zaman remajanya lagi ternyata beliau dapat membezakan di antara kelapa muda dan tua.

Menurut Kamaruddin, jika dihitung secara logik kira-kira sebulan lamanya kelapa yang tumbuh di Pulau Tongkang boleh dipetik jika dijual sebanyak 5,000 biji setiap hari. Selepas itu, beliau akan ke pulau lain pula dan dalam tempoh itu buah kelapa tidak dapat dipetik berikutan terlalu muda atau sebagainya sudah boleh dijual.

"Dari segi jaminan mutu dan kesegaran kelapa terutamanya kelapa yang dipetik dari pulau-pulau di pesisir Sungai Kelantan agak jauh lebih baik dari tempat lain. Buktinya, ramai pembeli yang telah menempah dari saya dalam jumlah yang banyak", ujar Kamaruddin lagi.

Sementara itu salah seorang anak perempuannya, Siti Norsufikah Kamaruddin, 20, turut membantu bapanya itu sebagai pembekal dan pemungut kelapa sejak dalam Tingkatan Tiga yang ketika itu berusia 15 tahun pada tahun 2008 lagi.

"Saya sebagai anak perlulah membantu abah kerana simpati dengan kerjanya kerana sebelum ini, abah bekerja seorang diri.

"Kalau dia buat seorang diri sudah tentu abah akan pulang lewat kerana kerja siap terlalu lambat. Jadi, dengan membantunya kerja abah akan menjadi lebih ringan dan masanya akan dapat disingkatkan", jelasnya ketika ditemui Wartawan RELATIF di Jeti Tanjung Kuala dekat sini ketika sedang memunggah buah kelapa dari dalam bot ke daratan jeti itu.

Katanya, ketika mula-mula mengikut jejak bapanya untuk mengurus bekalan kelapa kepada pembeli yang telah menempah, rasa penat itu memang tidak dapat dinafikan. Malah katanya, sehingga hari ini kepenatan tersebut masih lagi terasa, namun disebabkan ingin memudahkan dan meringankan kerja-kerja bapanya, terpaksalah beliau membantu bapanya sekadar yang termampu.

Menurutnya, bagi kelapa muda dijual dengan harga RM0-80 sen sebiji dan jika kelapa agak tua dan sesuai dibuat santan dijual dengan harga RM1-10. Sebagaimana yang diketahuinya, bagi pembeli akan terus menempah kelapa dari bapanya di antara 4,000 hingga 5,000 biji.

Selain kelapa dipungut sendiri darim pokok, terdapat juga bekalan kelapa daripada orang-orang kampungnya sendiri di Pulau Tongkang di mana bapanya akan membeli dari orang kampung untuk dijual di pasaran sebagaimana sekarang. Katanya, bapanya memperolehi bekalan kelapa dari orang-orang kampungnya sebanyak 1,000 biji, dari situ akan dikira dari segi upah memungut, mengupas kulit dan membawanya ke dalam bot lebih kurang dalam jumlah RM0-10 sen sebiji dan inilah modal yang diperolehinya setelah menjualnya nanti.

Apabila ditanya, tidakkah akan berasa kerugian jika dijual kepada pembeli dengan harga rendah iaitu RM0-80 sen kerana harga berkenaan dianggap terlalu murah, sedangkan di pasaran sekarang rata-ratanya kelapa dijual dengan harga lebih dari itu. Beliau menjelaskan, dari satu segi memang dikatakan rugi, namun telah menjadi amalan pembeli dengan harga berkenaan. Katanya, di Tumpat paling mahal kelapa berkenaan dijual dengan harga RM1-20 sebiji.

Tambahnya, bapanya memulakan kerja memungut buah-buah kelapa untuk dibawa ke Tumpat menggunakan bot berenjin bermula selepas Subuh menurut air pasang. Ini kerana, jika terlewat akan menyebabkan air surut, jika hal sedemikian berlaku bekalan kelapa tidak dapat dihantar kepada pembeli.

Selain itu katanya, perlunya air pasang bagi memudahkan bot dapat masuk ke pengkalan sama ada sewaktu memungut kelapa itu untuk dibawa ke tempat jualan. Setelah kelapa berkenaan di sesuatu pengkalan khususnya di Jeti Tanjung Kuala, kelapa itu akan dipunggah dari bot untuk diletakkan di atas daratan di jeti itu. Setelah kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya, ketika itulah beliau dapat pulang ke rumah. Penat memang tidak dapat dielakkan lagi ketika itu dan kerja-kerja berkenaan biasanya selesai di antara jam 2.30 petang hingga 3.00 petang setiap hari.

Menurut Siti Norsufikah lagi, dalam tenpoh seminggu itu, hanya sekali sahaja kelapa diambil dan dibawa dalam jumlah yang banyak di antara 4,000 hingga 5,000 biji. Malah katanya, walaupun kelapa berkenaan dipungut setiap hari ia tidak pernah habis. Selepas itu, kelapa berkenaan akan dijual di antara 200 hingga 500 biji. Keadaan ini bukan hanya dijual kepada seorang pembeli sahaja yang akan berurusan dengan bapanya kerana menganggap kelapa yang dijualnya dengan harga yang munasabah dan berpatutan.

"Bagi kelapa yang dijual dalam jumlah 4,000 hingga 5,000 biji terpaksa diangkut dua kali kerana kapasiti bot tidak mampu menampung jumlah kelapa yang agak banyak dan berat. Jualan seumpama ini adalah dijual secara borong dan kelapa ini dibawa setelah mendapat tempahan awal daripada pembeli dan abah tidak menjual secara biasa", ujarnya.

Kata Siti Norsufikah lagi, selain bapanya sebagai pemandu bot, bapa juga bertindak sebagai pemungut buah-buah kelapa dari pulau-pulau yang berhampiran termasuk dari Pulau Tongkang sendiri. Selepas itu bapanya juga perlu mengupas kulit kelapa itu untuk mempercepatkan tugas untuk mengelakkan kelapa itu lewat sampai kepada pembelinya yang turut dibantu ibunya ketika memunggah naik ke daratan di Jeti Tanjung Kuala, Tumpat.

Begitulah, "alah bisa tegal biasa", walaupun kerja berkenaan dikatakan agak memenatkan badan namun jika tidak dilakukan hal sedemikian, bagaimana rezeki boleh diperolehi kerana rezeki tidak akan datang dengan sendirinya tanpa sebarang usaha.  

Kamaruddin Abdullah atau Rahim.

Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di sebuah wakaf rehat di Jeti Tanjung Kuala.

Siti Norsufikah Kamaruddin ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Kelapa diangkut menggunakan bot berenjin ini.


Kelapa yang siap untuk diserahkan kepada pembeli.

Anak perempuannya, Siti Norsufikah sedang membantu keluarganya.

Buah kelapa dari Pulau Tongkang memang bermutu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

2 ulasan:

  1. boleh kongsi contact number en rahim x? saya berminat untuk jd pemborong beliau.

    BalasPadam
  2. Slm... Boss jual klpa lgi ko.. No telifn ad ko.. Klate mno ni.. Kti org klate jugk.. Tpi kti buke kdai kt phang.. Brpe sebutr

    BalasPadam