RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Rabu, 20 Mac 2013

Misteri Jelmaan Saka


MISTERI JELMAAN SAKA

TANAH MERAH, KELANTAN:  TANDA-TANDA diganggu saka sememangnya terlalu banyak, namun segelintir masyarakat Melayu menafikannya. Mereka berpendapat, amat mustahil keluarga mereka diganggu saka sedangkan mereka telah melakukan banyak ibadat seperti solat, puasa, membaca Al-Quran dan sebagainya. Kononnya, apabila membaca Al-Quran, saka yang merupakan makhluk jin akan bertempiaran lari dan tidak akan cuba mengganggu lagi kerana jin takutkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Pada hal mereka lupa, makhluk seumpama ini telah mempelajari banyak ilmu dari Allah S.W.T  beratus tahun lamanya dan telah mendalaminya melebihi ilmu yang dipelajari dan dimiliki oleh manusia. Bahkan manusia khususnya di kalangan orang-orang Melayu ternyata lupa, masyarakat Melayu zaman lampau menggunakan khidmat makhluk berkenaan sebagai pengawal peribadi, harta seperti rumah, tanah ladang dan kebun buah-buahan dari diganggu haiwan dan karenah manusia.

Bahkan ada di kalangan masyarakat Melayu waktu itu berhasrat untuk menjadi seorang yang kebal senjata (tidak lut senjata) dengan menuntut ilmu tentangnya, sentiasa dihormati, disegani dan ditakuti kawan dan lawan. Manakala di kalangan wanita pula, mereka berusaha menjadikan bentuk tubuh agar sentiasa cantik dan awet muda malah kelihatan jelita untuk memikat lelaki yang disukai atau menggunakan ilmu penunduk untuk tujuan melemahkan kaum lelaki supaya menurut kehendaknya malah berkahwin dengannya atau supaya suami tidak mencari wanita lain. Kesemua ilmu-ilmu itu adalah bersabit dengan perjanjian di antara manusia dengan makhluk ghaib yang bernama "jin".

Sebagai upahnya, dijanjikan supaya anak cucu sebagai galang gantinya bahkan meminta makhluk berkenaan supaya sentiasa menjaga ahli keluarganya dari diganggu oleh manusia yang berniat jahat. Memang dengan membuat perjanjian dengan "jin kafir" ini, keluarga berkenaan tidak akan diganggu, tetapi natijah derita dan beban berpanjangan akan ditanggung oleh ahli keluarga dan anak cucu dan cicitnya atau generasi yang seterusnya apabila orang yang membelanya telah meninggal dunia.

Kejadian bayi hilang dari kandungan ibu bahkan terdapat kanak-kanak yang sering mengigau malah bermimpi tentang perkara-perkara pelik dan aneh adalah berpunca dari masalah sedemikian. Hal seumpama ini memang diakui oleh Mohd. Hafizuddin Rosdi, 18, atau lebih dikenali sebagai Din dari Kampung Manal Satu, Tanah Merah, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediaman rakannya di Kampung Belimbing dekat sini.

Menurut Hafizuddin, beliau pernah mengalami kejadian yang agak pelik iaitu sering mengigau. Akibat sering mengigau, beliau akhirnya diserang demam panas. Disebabkan kejadian berkenaan, setiap kali beliau cuba melelapkan mata pada malam hari, setiap kali itu juga beliau mengigau, akibatnya Hafizuddin sentiasa di dalam ketakutan, maklumlah ketika itu beliau masih kanak-kanak lagi.

Katanya, dalam igauan yang sering dialaminya itu seolah-olah ada sesuatu yang sering memerhati dan melihat dirinya yang tidak dapat dilihat oleh penglihatan matanya. Disebabkan beliau sering diserang ketakutan akibat dilihat oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dan dirungkai oleh jiwanya, beliau kemudiannya berlari ke arah bilik ibu dan bapanya sedang tidur supaya memberikan keizinan untuknya tidur bersama dengan meninggalkan bilik tidurnya sendiri.

Menurutnya, setelah mengetuk bilik ibunya berulang kali sehinggakan ibu dan bapanya terkejut dengan tindakannya itu. Apabila pintu bilik dibuka oleh ibunya, beliau melihat ibu dan bapanya dalam rupa yang aneh dan bukan ibunya yang sebenar. Ketika itu beliau tidak dapat menafsirkan kejadian yang dialaminya.

Melihatkan keadaan dirinya dalam situasi ketakutan, bapanya membacakan beberapa potong ayat suci Al-Quran lalu dihembuskan ke arahnya, ketika itu juga perasaan takut dan gementar yang dialaminya terus hilang. Namun, kejadian yang sama masih dialaminya, terpaksalah seorang guru agama bergelar "ustaz" dipanggil untuk melihat keadaan dirinya. Gangguan yang dialami oleh beliau adalah dari keturunannya dikenali sebagai "saka" dari nenek moyangnya.

Tambah Hafizuddin, kejadian yang kedua berlaku lapan tahun lalu dianggap hampir sama dengan kejadian pertama apabila beliau mengalami "demam panas". Dalam tempoh demam panas yang dialaminya selama seminggu itu, pada sebelah malamnya dengan tiba-tiba beliau meracau apabila dengan jelas beliau dapat melihat satu bentuk lembaga yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Katanya, disebabkan beliau mengalami demam panas, ibunya yang cuba berusaha merawat demamnya itu dan beliau meminta untuk tidur di ruang tamu dengan memadamkan lampu di ruang tamu dengan memasang lampu di bahagian dapur, kira-kira cahayanya agak samar-samar mencelah di ruang tamu tempat beliau baring dan tidur itu.

"Kira-kira jam 12.00 malam, ketika mak saya meletakkan kain basahan di atas kepala untuk meredakan demam panas, mata saya ketika itu memang agak sayu kerana mengantuk, agak-agak dalam beberapa minit lagi mungkin akan terlelap. Ketika itulah saya terlihat satu lembaga berwarna hitam sedang bertenggek di siling rumah.

"Lembaga itu menyeringgai mulutnya sambil menjelir lidah yang agak panjang ke arah saya. Saya memandang lembaga itu bermata merah yang seolah-olah sedang memarahi saya. Baju yang dipakai oleh lembaga itu berwarna hitam sebagaimana tubuhnya. Lembaga hitam itu bagaikan terlekat di siling rumah saya seperti "spiderman", ujarnya apabila ditanya tentang bentuk fizikal lembaga yang dimaksudkan.

Sambungnya, melihatkan bentuk fizikal lembaga hitam itu yang agak besar, beliau agak terperanjat apatah lagi beliau terpaksa menanggung demam yang amat sangat. Lantas beliau berteriak ke arah ibunya sambil menunjukkan ke arah lembaga hitam yang dimaksudkan. Namun hal berkenaan telah dinafikan oleh ibunya kerana menganggap demam panasnya punca beliau berkeadaan demikian. Kata ibunya, beliau yang ketika itu masih dalam usia kanak-kanak apatah lagi mengalami demam panas, tentunya jiwa kanak-kanak masih mengalami lemah semangat sememangnya amat mudah mendapat gangguan makhluk ghaib sebagaimana yang pernah dialaminya itu.

Apabila ditanya tentang pengalaman dirinya ketika diganggu jelmaan lembaga hitam di siling rumahnya pada masa itu, beliau cuba memberitahu ibunya tentang jelmaan lembaga yang dimaksudkan. Tetapi ketika itu suaranya pula seolah-olah disekat malahan kadang-kadang menjadi perlahan dan tidak begitu jelas. Padahal beliau memanggil ibunya dengan suara yang agak kuat seolah-olah bertempik, namun masih tidak didengari oleh ibunya umpamanya suaranya disekat di kerongkongnya.

Manakala kejadian ketiga berlaku pada tahun 2010, di mana ketika itu Hafizuddin masih menuntut dalam Tingkatan Empat. Ketika kejadian adalah selepas Asar kira-kira jam 5.00 petang itu, beliau yang terlalu kepenatan tiba-tiba tertidur. Apabila tersedar dari tidur, secara tiba-tiba beliau tidak dapat bangun dari tidur seperti kebiasaannya apabila kepalanya tidak dapat diangkat bagaikan ditindih oleh suatu objek berat yang tidak dapat dilihat oleh matanya.

Dalam masa yang sama, beliau tidak dapat bernafas seolah-olah disekat malah suaranya juga agak perlahan dan begitu sukar untuk dituturkan. Atas usahanya untuk mengatasi masalah itu, beliau memaksa dirinya untuk mengalunkan azan sehingga dengan izin Allah beliau akhirnya dapat bangun dari tidur seolah-olah bebanan berat yang merantai dirinya telah tertanggal atau putus.

"Setelah dapat bangun dari baring, nafas saya menjadi semput seperti orang yang lemas di sungai. Hal ini saya maklumkan kepada ibu. Namun kata ibu, orang tua-tua berpesan dan melarang tidur waktu petang selepas Asar, sebab itulah nafas menjadi semput", ajuk Hafizuddin dengan kata-kata ibunya.

Kata Hafizuddin, kejadian terbaru berlaku pada tahun 2012, apabila pengalaman yang sama iaitu setiap kali bangun dari tidur nafasnya tiba-tiba semput. Malah suaranya juga tidak dapat dituturkan secara jelas dan sepenuhnya. Abangnya sendiri yang berusia 19 tahun pernah mengalami hal yang sama sepertinya apabila cuba bangun dari tidur dirasakan seperti tidak dapat bernafas secara sempurna.

Apabild ditanya tentang perasaannya berhubung dengan pengalaman yang dialaminya itu, beliau menjelaskan, sememangnya perasaan takut itu memang wujud, namun beliau tidak mempedulikannya bahkan beliau telah menduga sejak awal lagi kerana hal berkenaan disebabkan gangguan saka dari keturunannya sendiri. Hanya yang mampu beliau lakukan untuk menghindari gangguan berkenaan walaupun bersifat sementara ialah dengan membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran yang telah diajarkan oleh kedua orang tuanya.

Walau bagaimanapun katanya, hal berkenaan pernah diberitahu oleh bapanya bahawa, arwah atuknya dulu ada memelihara makhluk ghaib tersebut sebagai salah satu usaha untuk melindungi atau memagar rumah dan laman rumah dari dimasukki oeh manusia yang berniat serong. Malah katanya, hari ini pun makhluk ghaib terbabit pernah dilihatnya beberapa kali sedang mundar-mandir di laman rumah yang dimaksudkan untuk menunjukkan makhluk tersebut masih mengawal rumah berkenaan.

Apabila beliau meminta pandangan bapanya, hal seumpama ini juga pernah diakui oleh bapanya sendiri bahawa rumah terbabit ada penjaganya yang juga pernah dilihat oleh bapanya sendiri. Buktinya, apabila menjelang jam 1.00 pagi dalam masa-masa tertentu lembaga yang dimaksudkan itu akan dapat dilihat dan kadang-kadang hanya dapat didengari sahaja seperti lembaga tersebut sedang berada di atas rumah tersebut.

"Rumah yang saya duduki sekarang pun sering berbunyi suatu suara yang agak aneh. Kalau nak dikatakan akibat tiupan angin, dianggap tidak munasabah.

"Walau bagaimanapun, pada suatu ketika saya pernah terdengar bunyi seperti ada orang sedang berjalan. Malah, setiap kali menjelang jam 1.00 pagi, akan kedengaran seperti ada makhluk yang sedang berlari di atas bumbung rumah", ujarnya.

Tambah Hafizuddin, lazimnya jika rumah yang didudukinya itu kawasan agak keras, orang lain asti akan disakat makhluk halus itu. Tetapi hal seumpama ini hanya dialami oleh keluarganya sahaja, makhluk berkenaan tidak mengganggu keluarganya tetapi sekadar menjelma dan dapat dirasakan ada benda sedang berjalan di kawasan yang dimaksudkan untuk menunjukkan kawasan rumah terbabit seperti sentiasa dikawal dan diperhatikan.

"Saya pernah dimaklumkan oleh arwah atuk pada tahun 2008 dulu, di sebelah kiri pagar rumah saya sekarang pernah dicurah sejenis "minyak". Saya tidak pasti siapa dan minyak apa yang dicurahkan di situ, sebab saya tidak diberitahu tentangnya.

"Semenjak itu, kawasan rumah saya itu sentiasa mendapat gangguan. Mungkin kedua-dua sebab ini menjadikan rumah saya itu berkeadaan begitu", ujar Hafizuddin.

Katanya, semasa hayat atuknya juga pernah memberitahunya di bahagian penjuru pagar iaitu di belakang rumahnya sekarang sering menjelma wanita berambut panjang dan berpakaian putih. Menurut kata atuknya, wanita berambut panjang itu adalah "langsuir". Sebagaimana abangnya yang dapat melihat wujudnya makhluk halus di sesuatu kawasan yang dilihatnya, namun baginya hanya dapat merasakan kehadiran makhluk ghaib tersebut sahaja. Malah pernah terjadi, sewaktu beliau keseorangan di rumahnya, seolah-olah ada orang yang sedang memerhatikannya.

Itulah sifat makhluk halus yang dikategorikan sebagai "jin jelmaan saka" akan sentiasa menunggu arahan tuannya. Kelemahan jin ini ialah tidak mengetahui tentang kematian tuannya, sehingga tempoh seterusnya makhluk ini akan sentiasa mengawal rumah dan memerhatikan keturunannya jika tiada usaha untuk memutuskan perjanjian yang telah dibuat sebelumnya. Justeru, jika perjanjian itu masih wujud, maka jin saka ini akan sentiasa menganiayai sehingga keturunan yang terakhir.
 
Mohd. Hafizuddin Rosdi atau Din.

Mohd. Hafizuddin (baju putih) ketika menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 10 Mac 2013

Rezeki Hasil Kelapa


REZEKI HASIL KELAPA

TUMPAT, KELANTAN:  REZEKI tidak datang secara melayang dan tidak juga secara bergolek. Rezeki perlu dicari dengan cara bekerja walaupun pekerjaan itu ternyata agak sukar dan memenatkan, namun tiada lagi cara lain untuk mendapatkannya. Untuk memperolehi makanan dan pakaian serta mendapat kehidupan yang sewajarnya, mencari rezeki sudah menjadi tanggungjawab manusia untuk berbuat demikian. Orang yang malas bekerja yang dianggap sebagai "peminta sedekah" atau "pengemis jalanan" sahaja yang tidak ingin berusaha yang sekadar mengharap simpati orang ramai. Ternyata amat berbeza bagi orang yang mencari rezeki menggunakan tenaga dan anggota empat kerat ini akan lebih mulia berbanding dengan peminta sedekah itu.

Begitu halnya dengan segelintir individu yang mengharapkan "rezeki hasil kelapa" juga jika dilihat kepada kerjaya mereka agak terlalu sukar, bukan sahaja terpaksa menggadaikan nyawa untuk mendapatkan buah-buah kelapa yang letaknya jauh dari penginapan, namun terpaksa pula mengharungi kedalaman sungai yang agak deras di pagi hari dan pekerjaan itu pula dilakukan selepas Subuh untuk mengelakkan berlakunya air surut. Lazimnya, apabila dilakukan selepas Subuh ketika itu air masih pasang dan kerja-kerja berkenaan perlu disiapkan sebelum air surut pada pukul 2.00 hingga 4.00 petang setiap hari.

Dalam hal ini, kehidupan sebagai pembekal kelapa misalnya yang hanya mengharapkan rezeki dari kelapa sebagai salah satu mata pencarian tetap sekeluarga. Buah-buah kelapa ini pula perlu dikumpulkan dan diangkut ke dalam bot yang diambil di kebanyakan pulau-pulau di pesisir Sungai Kelantan seperti Pulau Tongkang, Pulau Beluru, Pulau Seratus dan sebagainya yang letaknya lebih dari 500 meter dari tempat tinggal. Salah seorang yang dimaksudkan, Kamaruddin Abdullah, 56, atau lebih dikenali sebagai Rahim dari Kampung Pulau Tongkang, Tumpat, Kelantan yang turut dibantu oleh isteri dan salah seorang anak perempuannya.

"Kerja sebagai pembekal kelapa ni saya lakukan sejak zaman remaja lagi. Setelah bapa meninggal dalam tahun 1960, saya menyambung tugasnya sehingga hari ini", ujarnya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di Jeti Tanjung Kuala dekat sini.

Katanya, ketika itu beliau masih belum mendirikan rumahtangga lagi. Sebelum mengambil alih sepenuhnya tugas berkenaan dari arwah bapanya, beliau turut membantu meringankan bebanan bapanya dengan memungut kelapa dari beberapa pulau seperti tempat tinggalnya di Kampung Pulau Tongkang dan di beberapa pulau pesisir sungai di mana bekalan kelapa memang tidak putus-putus sejak waktu itu.

Tambahnya, kelapa yang telah dapat dipungut itu akan dikumpulkan terlebih dahulu kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah bot berenjin. Lazimnya kelapa-kelapa berkenaan dibawa ke beberapa tempat di sekitar Tumpat menurut tempahan pembeli kelapa. Biasanya, kelapa berkenaan dibawa ke Jeti Tanjung Kuala yang terletak di Tumpat. Pembeli kelapa dari pelbagai tempat dan daerah datang ke situ untuk membeli kelapa secara borong dengan harga murah dan berpatutan.

Ketika sessi temubual ini, salah seorang pembeli kelapa dari Tanah Merah sedang menunggu untuk memunggah kelapa berkenaan ke dalam sebuah lori miliknya. Lazimnya, kelapa berkenaan dijual kira-kira 5,000 biji. Perjalanan dari Pulau Tongkang ke Jeti Tanjung Kuala berjarak setengah jam perjalanan menggunakan bot berenjin. Beliau menjual kepada pembeli kelapa itu dengan harga RM1.10 (untuk sebiji kelapa) dengan jumlah 5,000 biji untuk seorang pembeli.

"Dari pengalaman saya sebagai pembekal kelapa, tidak pernah berlaku dalam sejarah kelapa yang dibekalkan kepada pembeli kehabisan, apatah lagi di musim kemarau atau di musim banjir", ujarnya apabila ditanya tentang stok buah-buah kelapa berkenaan.

Kata Kamaruddin, lazimnya di sesetengah tempat kelapa dipetik menggunakan khidmat manusia. Namun, dewasa ini cara sedemikian tidak lagi relevan apabila khidmat haiwan pemanjat seperti "beruk" telah digunakan untuk memetik kelapa. Bahkan untuk memetik kelapa yang matang hendaklah dilihat kepada kulitnya yang agak kering dan matang. Ini berdasarkan kepada pengalamannya bertahun-tahun sebagai pemungut dan pembekal kelapa sejak zaman remajanya lagi ternyata beliau dapat membezakan di antara kelapa muda dan tua.

Menurut Kamaruddin, jika dihitung secara logik kira-kira sebulan lamanya kelapa yang tumbuh di Pulau Tongkang boleh dipetik jika dijual sebanyak 5,000 biji setiap hari. Selepas itu, beliau akan ke pulau lain pula dan dalam tempoh itu buah kelapa tidak dapat dipetik berikutan terlalu muda atau sebagainya sudah boleh dijual.

"Dari segi jaminan mutu dan kesegaran kelapa terutamanya kelapa yang dipetik dari pulau-pulau di pesisir Sungai Kelantan agak jauh lebih baik dari tempat lain. Buktinya, ramai pembeli yang telah menempah dari saya dalam jumlah yang banyak", ujar Kamaruddin lagi.

Sementara itu salah seorang anak perempuannya, Siti Norsufikah Kamaruddin, 20, turut membantu bapanya itu sebagai pembekal dan pemungut kelapa sejak dalam Tingkatan Tiga yang ketika itu berusia 15 tahun pada tahun 2008 lagi.

"Saya sebagai anak perlulah membantu abah kerana simpati dengan kerjanya kerana sebelum ini, abah bekerja seorang diri.

"Kalau dia buat seorang diri sudah tentu abah akan pulang lewat kerana kerja siap terlalu lambat. Jadi, dengan membantunya kerja abah akan menjadi lebih ringan dan masanya akan dapat disingkatkan", jelasnya ketika ditemui Wartawan RELATIF di Jeti Tanjung Kuala dekat sini ketika sedang memunggah buah kelapa dari dalam bot ke daratan jeti itu.

Katanya, ketika mula-mula mengikut jejak bapanya untuk mengurus bekalan kelapa kepada pembeli yang telah menempah, rasa penat itu memang tidak dapat dinafikan. Malah katanya, sehingga hari ini kepenatan tersebut masih lagi terasa, namun disebabkan ingin memudahkan dan meringankan kerja-kerja bapanya, terpaksalah beliau membantu bapanya sekadar yang termampu.

Menurutnya, bagi kelapa muda dijual dengan harga RM0-80 sen sebiji dan jika kelapa agak tua dan sesuai dibuat santan dijual dengan harga RM1-10. Sebagaimana yang diketahuinya, bagi pembeli akan terus menempah kelapa dari bapanya di antara 4,000 hingga 5,000 biji.

Selain kelapa dipungut sendiri darim pokok, terdapat juga bekalan kelapa daripada orang-orang kampungnya sendiri di Pulau Tongkang di mana bapanya akan membeli dari orang kampung untuk dijual di pasaran sebagaimana sekarang. Katanya, bapanya memperolehi bekalan kelapa dari orang-orang kampungnya sebanyak 1,000 biji, dari situ akan dikira dari segi upah memungut, mengupas kulit dan membawanya ke dalam bot lebih kurang dalam jumlah RM0-10 sen sebiji dan inilah modal yang diperolehinya setelah menjualnya nanti.

Apabila ditanya, tidakkah akan berasa kerugian jika dijual kepada pembeli dengan harga rendah iaitu RM0-80 sen kerana harga berkenaan dianggap terlalu murah, sedangkan di pasaran sekarang rata-ratanya kelapa dijual dengan harga lebih dari itu. Beliau menjelaskan, dari satu segi memang dikatakan rugi, namun telah menjadi amalan pembeli dengan harga berkenaan. Katanya, di Tumpat paling mahal kelapa berkenaan dijual dengan harga RM1-20 sebiji.

Tambahnya, bapanya memulakan kerja memungut buah-buah kelapa untuk dibawa ke Tumpat menggunakan bot berenjin bermula selepas Subuh menurut air pasang. Ini kerana, jika terlewat akan menyebabkan air surut, jika hal sedemikian berlaku bekalan kelapa tidak dapat dihantar kepada pembeli.

Selain itu katanya, perlunya air pasang bagi memudahkan bot dapat masuk ke pengkalan sama ada sewaktu memungut kelapa itu untuk dibawa ke tempat jualan. Setelah kelapa berkenaan di sesuatu pengkalan khususnya di Jeti Tanjung Kuala, kelapa itu akan dipunggah dari bot untuk diletakkan di atas daratan di jeti itu. Setelah kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya, ketika itulah beliau dapat pulang ke rumah. Penat memang tidak dapat dielakkan lagi ketika itu dan kerja-kerja berkenaan biasanya selesai di antara jam 2.30 petang hingga 3.00 petang setiap hari.

Menurut Siti Norsufikah lagi, dalam tenpoh seminggu itu, hanya sekali sahaja kelapa diambil dan dibawa dalam jumlah yang banyak di antara 4,000 hingga 5,000 biji. Malah katanya, walaupun kelapa berkenaan dipungut setiap hari ia tidak pernah habis. Selepas itu, kelapa berkenaan akan dijual di antara 200 hingga 500 biji. Keadaan ini bukan hanya dijual kepada seorang pembeli sahaja yang akan berurusan dengan bapanya kerana menganggap kelapa yang dijualnya dengan harga yang munasabah dan berpatutan.

"Bagi kelapa yang dijual dalam jumlah 4,000 hingga 5,000 biji terpaksa diangkut dua kali kerana kapasiti bot tidak mampu menampung jumlah kelapa yang agak banyak dan berat. Jualan seumpama ini adalah dijual secara borong dan kelapa ini dibawa setelah mendapat tempahan awal daripada pembeli dan abah tidak menjual secara biasa", ujarnya.

Kata Siti Norsufikah lagi, selain bapanya sebagai pemandu bot, bapa juga bertindak sebagai pemungut buah-buah kelapa dari pulau-pulau yang berhampiran termasuk dari Pulau Tongkang sendiri. Selepas itu bapanya juga perlu mengupas kulit kelapa itu untuk mempercepatkan tugas untuk mengelakkan kelapa itu lewat sampai kepada pembelinya yang turut dibantu ibunya ketika memunggah naik ke daratan di Jeti Tanjung Kuala, Tumpat.

Begitulah, "alah bisa tegal biasa", walaupun kerja berkenaan dikatakan agak memenatkan badan namun jika tidak dilakukan hal sedemikian, bagaimana rezeki boleh diperolehi kerana rezeki tidak akan datang dengan sendirinya tanpa sebarang usaha.  

Kamaruddin Abdullah atau Rahim.

Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di sebuah wakaf rehat di Jeti Tanjung Kuala.

Siti Norsufikah Kamaruddin ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Kelapa diangkut menggunakan bot berenjin ini.


Kelapa yang siap untuk diserahkan kepada pembeli.

Anak perempuannya, Siti Norsufikah sedang membantu keluarganya.

Buah kelapa dari Pulau Tongkang memang bermutu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 1 Mac 2013

Misteri Baruh Mak Dara


MISTERI BARUH MAK DARA

PASIR MAS, KELANTAN:  KEJADIAN misteri jelmaan jin (pelesit) yang berlaku pada tahun 1955 iaitu sebelum Malaya mencapai kemerdekaan di kawasan Baruh Mak Dara memang di tahap serius. Ini kerana, sehingga hari ini, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan, kejadian yang meremangkan bulu roma di kawasan yang agak terpencil di daerah Pasir Mas, Kelantan itu masih lagi berlaku dan pada ketika-ketika tertentu penduduk di kampung terbabit seakan fobia walaupun kejadian berkenaan telah berlalu sejak 58 tahun lalu. Kisah ini kemudiannya dihebahkan dari mulut ke mulut.

Menurut seorang warga emas, Muhammad bin Yaakub, 61, atau lebih dikenali sebagai Abang Din yang merupakan penduduk asal Kampung Kubang Nyior, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF berkata, beliau mendapat cerita ini daripada arwah Daud bin Dosoh yang ketika itu berusia 50 tahun. Manakala mangsa yang merupakan seorang penangkap ikan darat (ikan sawah/bendang) yang lebih popular sebagai "penyuluh" ketika itu berusia 40 tahun.

"Bermula ceritanya, ketika itu "musim barat" di mana Baruh Mak Dara yang terletak dalam Kampung Nibong didapati ikat darat seperti puyu, haruan, keli dan sepat keluar dari lubang dengan banyaknya.

"Ini disebabkan, pada sebelah petangnya, hujan turun dengan agak lebat setelah kemarau agak lama melanda kampung berkenaan. Disebabkan hujan lebat turun dengan tidak berhenti-henti menyebabkan air melimpah dan menenuhi Baruh Mak Dara.

"Berikutan air melimpah ke seluruh Baruh Mak Dara menyebabkan ikan-ikan darat tadi yang menghuni dalam telaga keluar beramai-ramai mengikut aliran air dalam sawah tersebut", bicara Abang Din.

Sambung Abang Din, pada suatu hari, apabila diketahui semua ikan-ikan darat seperti puyu, haruan, keli dan sepat semuanya keluar dari lubang telaga mengikut arus air, seorang penangkap ikan yang gemar menyuluh menggunakan "jebak" (sarung pelita ayam dibuat dari tin minyak masak) yang ketika itu berusia dalam lingkungan 40 tahun dari kampung berkenaan menjadi agak girang kerana inilah rezekinya yang ditunggu-tunggu pada malam itu. Kira-kira jam 8.00 malam (selepas Maghrib), beliau bergegas ke tempat yang dimaksudkan untuk tujuan menyuluh dan menangkap ikan sebanyak mungkin kerana itulah aktiviti sejak zaman kanak-kanak sehingga beliau dewasa.

Setelah tiba di tempat yang dimaksudkan iaitu di kawasan Baruh Mak Dara itu, dia melihat ikan-ikan yang mengikut arus air di sawah padi itu semakin banyak tidak terkira apabila malam semakin larut. Terlalu girang melihat ikan-ikan tersebut, dia memukul dan menetak ikan-ikan itu dengan senjata parang panjang yang sejak tadi telah terhunus di tangannya.

Dia berasa agak lama menetak ikan-ikan yang keluar dari telaga itu dan pada hematnya sudah banyak ikan yang terkena tetakan mata parangnya. Namun, dia agak hairan pada ketika itu kerana tidak memperolehi ikan yang dihajatkannya (dengan kata lain, seolah-olah ikan-ikan yang terkena mata parangnya tidak mati).

Si penangkap ikan itu berasa agak letih menetak ikan-ikan itu sehingga pada perkiraannya, masa sudah mencecah jam 3.00 pagi. Dia berhenti buat sementara untuk menyedut (menghisap) rokok daun yang telah dibawa khusus pada malam itu. Tiba-tiba terdetik di hatinya, tentunya berasa agak kesunyian jika menghisap rokok seorang diri, lantas dia mengatur langkah ke rumah rakannya di Kampung Bechah Kita. Setelah tiba di laman rumah rakannya itu, dia memanggil rakannnya berulang kali supaya melayannya.

Setelah berulang kali memanggil rakannya itu, dari dalam rumah tiba-tiba beliau terdengar sahutan sebagai menandakan rakannya ada di rumah ketika itu.

"Siapa dia?" tanya rakannya dari atas rumah seraya menyahut panggilan si penyuluh ikan itu.

"Aku!" jawab si penyuluh ikan agak ringkas, tentunya akan difahami oleh rakannya kerana itulah kelazimannya bercakap setiap kali bertemu.

"Mu mari mana (mu datang dari mana?)" tanya rakannya.

"Aku mari nyuluh ikan (aku datang menyuluh ikan)", ujarnya ringkas.

"Kalau begitu, naiklah", pelawa rakannya itu supaya beliau naik ke rumah pada pagi itu.

Tambah Abang Din, setelah dipelawa oleh rakannya itu, beliau mula melangkah anak tangga untuk naik ke atas rumah sebagaimana yang dipinta rakannya itu berbekalkan jebak pelita ayam dan seberkas rokok daun tergenggam erat di tangannya. Jebak pelita ayam itu kemudiannya disangkutkannya di sebatang dinding rumah rakannya itu lalu api pelitanya itu dipadamkannya.

Rakannya itu mempersilakannya duduk bersimpuh sementara menyedut rokok yang telah siap dalam tepak sirih (cerana). Dia kemudiannya bertenggek di atas bendul di rumah rakannya di Kampung Bechah Kita sambil menyedut rokoknya sedikit demi sedikit lalu menghembuskan asapnya keluar dari bibir mulutnya sambil menikmati kunyahan sirih pinang yang telah disiapkan di dalam tepak sirih itu.

"Dalam masa sedang menikmati sirih pinang sambil menghisap rokok di rumah rakannya di Kampung Bechah Kita pada pagi itu, rakannya itu bertanya adakah beliau memperolehi banyak hasil ikan.

"Lantas dijawabnya bahawa beliau terlalu letih menetak ikan-ikan yang berenang mengikut arus air sawah padi itu memang banyak, pelik katanya, ikan-ikan tersebut walaupun terkena mata parangnya, ikan-ikan itu tidak mati dan sukar untuk ditangkap (diambil).

"Rakannya itu bertanya lagi, adakah ikan yang ditetaknya itu adalah sekadar jelmaan makhluk halus (pelesit). Jawabnya, itu semua dia tidak tahu. Beliau kemudiannya memberitahu rakannya itu bahawa beliau akan ke sana lagi selepas ini, singgah di rumah rakannya itu adalah sekadar untuk menghisap rokok sahaja sambil berehat dari kepenatan kerana menetak ikan-ikan yang aneh banyaknya", ujar Abang Din.

Kata Abang Din, rakannya itu mempelawanya berehat sementara untuk menghilangkan rasa penat sambil menghulurkan kepadanya sebiji bantal agar beliau dapat berehat sambil berbaring. Apabila beliau memperolehi bantal itu, beliau kemudiannya meniarap di atas bantal berkenaan sambil menghisap rokok dan sambil berbual dengan rakan yang berhadapan dengannya.

Disebabkan terlalu lama berbual dengan rakannya seperti bertahun-tahun tidak bertemu, tanpa disedarinya beliau tertidur sambil meniarap di atas bantal itu. Dengan tidak disangka beliau tertidur di rumah rakannya itu sehingga menjelang pagi, dilihatnya suasana pagi pada ketika itu agak cerah kira-kira jam 6.00 pagi.

Setelah terlihat suasana telah agak cerah dengan jelas, beliau seperti tersedar dari lamunan panjang dan rupa-rupanya beliau berada di atas "pokok sila". Ketika itulah beliau berasa amat takut, namun ketakutan tidak begitu terasa sangat disebabkan hari sudah beransur siang. Dia memerhatikan sekeliling dan terlihatnya jebak pelita ayam yang disangkutkannya di dinding rumah rakannya itu kini pada sebelah malamnya masih tergantung di dahan pokok sila itu. Pada ketika itulah, terdetik di hatinya bahawa beliau telah dipermainkan oleh jin pelesit itu.

Beliau kemudiannya turun dari pokok sila itu dan pulang ke rumah dan setelah tiba di rumahnya beliau memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya termasuk jiran tetangganya. Setelah diketahui pengalamannya itu dari keluarganya itu, perasaannya serba salah dan berbelah bagi antara percaya atau tidak, sebab beliau pernah berbual dengan rakannya di sebuah rumah rakannya itu sendiri.

Pada ketika yang sama, beliau seolah-olah tidak sedarkan diri seperti dalam kerasukan sesuatu disebabkan terlalu terkejut dengan kejadian itu dan pada masa yang sama fikirannya bercelaru kerana tidak berupaya berfikir dan membuat keputusan. Beliau kemudiannya dibawa oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan secara tradisional dalam usaha memulihkan keadaannya yang bercelaru itu.

"Pengamal Rawatan Tradisional yang merawatnya itu memberitahunya, dia telah terkena gangguan makhluk halus tempat beliau melihat ikan-ikan yang terlalu banyak itu", ujar Abang Din.

Kata Abang Din menambah, si penyuluh ikan itu sebenarnya telah diperdaya kerana yang disangka rumah rakannya itu adalah sebatang pokok sila. Manakala jelmaan seperti wajah dan bentuk tubuh rakannya yang berpakaian biasa sebagaimana yang dilihatnya adalah jelmaan penunggu (pelesit) di lubuk Baruh Mak Dara itu.

Walau bagaimanapun, watak-watak yang terlibat dalam kisah berkenaan sudah lama berlalu dan kesemua mereka telah kembali menghadap Illahi. Semoga Allah S.W.T  mengampunkan kesalahan mereka dan mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin!

 
Muhammad bin Yaakub atau Abang Din.

Abang Din ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Inilah Baruh Mak Dara, suatu kejadian pelik sering berlaku di kawasan ini.

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH