RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Sabtu, 15 Disember 2012

Pengalaman: DJ Radio Mesir


PENGALAMAN: DJ RADIO MESIR

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  JAUH perjalanan luas pengalaman. Tetapi jika perjalanan jauh atas sebab menuntut ilmu dianggap suatu jihad kerana bukan sahaja terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman semata-mata untuk menimba ilmu di rantau orang. Hal inilah yang ingin dikongsi oleh Pensyarah Bahasa Arab, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Ustaz Mohamed Marzuki Zakaria ketika ditemui Wartawan RELATIF  di kediamannya di Kampung Pasir Pekan dekat sini berkata, niat asal beliau ke Universiti Al-Azhar, Mesir adalah untuk menuntut ilmu dalam Bahasa Arab. Selepas menamatkan pengajian di Ma'ahad Muhammadi yang pada masa itu terletak di Jalan Merbau, Kota Bharu (sekarang ini di Jalan Pengkalan Chepa), beliau kemudiannya menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar dalam Bahasa Arab selama 12 tahun bermula tahun 1994 hingga 2006.

"Ketika menjadi pelajar di sana, kebetulan ada seorang rakan saya yang bertugas di Radio Republik Arab-Mesir menyatakan ada kekosongan jawatan di radio itu. Lantas, saya dipelawa untuk melihat dengan sendiri bagaimana operasi sistem radio dan televisyen itu ke udara setiap hari", katanya yang berasal dari Kampung Perol, To' Uban, Pasir Mas, Kelantan itu.

Beliau menyambut pelawaan rakannya itu dengan perasaan besar hati dalam usaha untuk mencari pengalaman bertugas sebagai DJ Radio Republik Arab-Mesir ketika itu. Pada awalnya, beliau tidak berniat untuk bekerja tetapi atas dasar untuk melanjutkan pelajaran sahaja. Tetapi kerana menghormati pelawaan rakannya, beliau kemudiannya pergi ke tempat yang dimaksudkan. Setibanya di tempat tersebut, beliau melihat di antara 17 hingga 18 orang kakitangan radio terbabit sedang bertugas. Beliau perlu menduduki peperiksaan untuk menjawat jawatan tersebut.

Katanya, Radio Republik Arab-Mesir dipancarkan ke luar negara menggunakan gelombang ShockWave (SW2). Setiap DJ Radio ditugaskan hanya satu jam sehari, bermakna bermula jam 3.15 hingga 4.15 petang (waktu Malaysia) dan 8.15 hingga 9.15 malam (waktu Malaysia). Lazimnya, beliau bertugas di antara jam 3.15 hingga 4.15 petang (waktu Malaysia). Namun, jika ada rakaman lazimnya dilakukan di antara jam 8.00 pagi hingga jam 10.00 pagi, beliau bertugas pada waktu-waktu berkenaan biasanya tiga kali dalam seminggu. Kadang-kadang beliau juga perlu melakukan tugas-tugas luar apabila menteri dari Malaysia bertandang ke Mesir.

Apabila ditanya tentang pengalaman penduduk Mesir bekerja dengan masyarakat Malaysia, beliau menjelaskan, tugas di Mesir dengan Malaysia adalah hampir sama. Tetapi yang membezakannya bagi pekerja dalam studio seperti DJ misalnya hanya terlibat dalam studio semata-mata. Siaran yang dibawakannya adalah siaran berbahasa Melayu, cuma bahan-bahan akan disiarkannya adalah dari Arab bermula jam 3.15 hingga 4.15 petang akan ke udara setiap hari.

"Di antara tugas yang sering ke udara ketika siaran yang saya kendalikan seperti tafsir Al-Quran, soal jawab agama, rencana, berita dan peristiwa semasa. Semua bahan-bahan berkenaan dalam Bahasa Arab, tetapi saya akan menterjemahkannya dalam bahasa Melayu. Selepas itu apabila saya masuk studio, saya akan membaca bahan-bahan tersebut", jelasnya.

Katanya, jika siaran berkenaan perlu dilakukan "secara langsung" beliau akan melakukannya secara langsung dan jika siaran dari rakaman, beliau akan melakukannya secara rakaman.

Ketika ditanya tentang layanan kakitangan pihak Jabatan Penyiaran Mesir katanya, tugas pihak Jabatan Penyiaran Mesir kerana jawatan dalam kerajaan secara rasmi dan merupakan kakitangan kerajaan juga dan beliau diambil bekerja dengan pihak berkenaan sememangnya menjadi keuntungan kepada pihak berkenaan. Ini kerana, kalau pihak jabatan berkenaan mengambil pekerja dari luar khususnya dari Malaysia (secara khusus), perlulah pihak kerajaan Mesir membayar tenaga buruh yang lebih tinggi, misalnya dalam jumlah AS 2,000 dolar (antara RM6,000 hingga RM7,000). Jadi, beliau sebagai pelajar di Mesir dikira sebagai pekerja tempatan turut dibayar gaji pada tahun 1994 itu (mula-mula masuk), beliau dibayar 1,000 pound (Mesir) iaitu kira-kira RM800 untuk tempoh dua jam sehari. Manakala akhir tahun 2006, beliau dibayar gaji sebanyak 2,300 pound (Mesir) iaitu kira-kira RM2,000.

Beliau yang merupakan seorang pelajar Malaysia di Mesir menerima pelawaan bekerja dengan Radio Republik Arab-Mesir adalah untuk memperkemaskan penggunaan dan perbualan Bahasa Arab. Apabila pulang ke tanahair, beliau dapat menerapkan pengkhususan yang sama iaitu dalam Bahasa Arab.

Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Jabatan Bahasa Arab di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) iaitu dalam pengkhususan Bahasa Arab sebagaimana yang beliau belajar di Mesir pada tahun 1994 dulu.

"Semasa saya menjadi pelajar di Mesir, saya banyak memperolehi pengalaman yang berguna, ada yang pahit dan ada yang manis di mana sebahagiannya boleh diterapkan dalam sistem pendidikan Islam di negara kita terutamanya dalam menterjemahkan Bahasa Arab.

"Kalau bercakap tentang pengalaman manis, tugas sementara saya sebagai DJ Radio Mesir sememangnya tidak mengganggu saya sebagai pelajar, dengannya saya banyak mengutip pengalaman khususnya dalam hal Bahasa Arab", ujarnya.

Sementara itu katanya, apabila pemimpin Malaysia hadir ke Iskandariah, Mesir, beliau perlu hadir untuk menyambut menteri kita di sana. Pada masa itu, beliau perlu berkorban masa antara pelajaran dengan pekerja sementara di Radio Mesir itu.

"Ketika saya bertugas sebagai DJ Radio, bukan saya seorang diri sahaja yang bertugas di radio berkenaan tetapi kesemuanya berempat.

"Jadi, pada saya, kelau berempat bermakna saya sempat melakukannya. Kami ketika itu sama-sama memahami tugas yang diberikan malah saya dan rakan-rakan sejawatan amat memahami dengan situasi itu secara bergilir-gilir", ujar bapa kepada lima orang anak ini.

Tambahnya, Radio Republik Arab-Mesir bukan menerapkan dalam satu bahasa sahaja tetapi meliputi lebih 43 bahasa. Justeru, setiap bahasa itu kakitangan yang bertugas sekurang-kurangnya dua orang, misalnya dari Malaysia (4 orang), Indonesia (5 orang) dan Thailand (4 orang). Justeru, sebagai ketua pihak atasan di radio berkenaan menganggapkan sikap berhemah dan budi bahasa yang kita tunjukkan kepada masyarakat Mesir menjadi contoh dan mereka memuji kita dengan keadaan ini.

Katanya, walaupun terdapat masalah apabila berlakunya perbezaan gaji yang diberikan kepada kakitangan di sana yang dianggap tidak begitu memuaskan berbanding dengan kita. Misalnya, bagi penjawat awam Mesir jika ingin dibandingkan dengan penjawat awam di Malaysia, lebih baik penjawat awam kita (Malaysia) yang dibayar gaji agak memuaskan berbanding di Mesir.

Beliau mendapat tahu gaji yang pihak pekerja mereka terima semasa bertugas dengannya pada waktu itu di antara 300 hingga 500 pound, manakala Ketua Jabatan pula menerima 1,000 pound sahaja. Pihak berkenaan bertugas di antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Manakala beliau bertugas mulai jam 2.00 petang (datang awal di antara jam 12.00 tengah hari atau 1.00 petang). Ini bermakna, apabila beliau masuk bertugas, beliau terus pulang apabila tugas tersebut selesai.

Menurutnya, beliau bertugas di Radio Republik Arab-Mesir adalah khusus untuk bahagian Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia (tiga bahasa) dan tugasnya tidak mencampuri bahagian-bahagian lain. Tempat beliau bertugas yang terletak di Tahrir, Kaherah adalah merupakan sebuah pusat bandar yang terletak di tepi Sungai Nil. Beliau bertugas di Radio Republik Arab-Mesir dalam bahagian Bahasa Melayu.

Malah katanya, kebanyakan pendengarnya terdiri daripada warga Kelantan, kerana itu beliau banyak menerima surat-surat maklumbalas dari pelajar-pelajar Kelantan lain di sana yang memuji beliau sebagai DJ Radio. Di antara pendengarnya terdiri dari Kelantan (pendengar paling ramai), Terengganu dan Johor.

Justeru katanya, bagi siaran untuk luar negara, penduduk tempatan (Mesir) tidak akan dapat mendengarnya. Dari segi maklumbalas pendengar di antara ketiga-tiga bahasa itu, siaran paling jelas adalah Indonesia. Pihak DJ Radio (Indonesia) pernah menerima 2,000 pucuk surat dari peminat mereka di Indonesia setahun. Manakala bagi peminat Malaysia beliau pernah menerima surat dari peminat di antara 100 hingga 200 pucuk surat dalam setahun.

Ustaz Mohamed Marzuki Zakaria.

Ustaz Mohamed Marzuki Zakaria ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Ustaz Mohamed Marzuki ketika sedang bertugas sebagai DJ Radio Republik Arab-Mesir pada tahun 2005.

Ustaz Mohamed Marzuki ketika bersama seorang Menteri dari Malaysia pada tahun 2005, Datuk Abdullah Mat Zain (kanan).

Foto isteri dan anaknya ketika di Mesir pada 2.12.2005.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan