LEMAK: RISIKO KESIHATAN
KITA akan berasa risau
apabila mendapati tubuh badan tiba-tiba menjadi gemuk dan dikatakan banyak
lemak. Tetapi individu yang gemuk menganggap lemak dalam badan sebagai perkara
biasa dan tidak perlu dibimbangkan. Malah dalam sajian makanan harian, ada orang
tidak gemar makanan yang berlemak tetapi tidak kepada individu yang menggemari
makanan yang mengandungi kadar lemak yang ketara.
Dari kedua-dua perbandingan
tersebut yang berdasarkan konsep pemakanan Malaysia hari ini, jelaslah yang
mengandungi kadar lemak amat digemari masyarakat kita. Malahan mereka tidak
mempedulikan makanan itu mengandungi lemak atau sebaliknya. Maka tidak
hairanlah, ramai rakyat di negara ini bertubuh gemuk dan menyimpan banyak
lemak.
Lemak merupakan sumber tenaga
kalori yang padat. Nama lain bagi lemak juga disebut sebagai lemak beku,
lelemak dan lemak khinzir (lard). Lemak boleh didapati melalui makanan secara
semula jadi serta lemak secara tersembunyi.
Lemak secara
semula jadi boleh didapati dari minyak, mentega, majerin, minyak sapi serta
santan. Manakala lemak secara tersembunyi boleh diperolehi daripada makanan
siap masak umpamanya karipap, kek, daging berlemak dan makanan bergoreng.
Kandungan Lemak Dalam Makanan
Di samping
itu, makanan segera dan snek juga adalah contoh lemak dari sumber yang
tersembunyi walaupun tidak kelihatan berlemak atau berminyak.
Dalam
konteks pemakanan harian, lemak mengandungi dua peringkat iaitu lemak tepu dan
lemak tak tepu. Menurut Unit Pendidikan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan
Perubatan dan Kesihatan Kelantan, lemak tak tepu adalah lembut dan cair pada
suhu yang rendah seperti di dalam peti ais. Ia diperolehi daripada sumber
tumbuhan yang mengandungi dua jenis iaitu:
1. Mono tak tepu seperti minyak
zaitun serta minyak kelapa sawit.
2. Poli tak
tepu umpamanya minyak bunga matahari, minyak jagung dan majerin lembut.
Lemak tak
tepu kurang membahayakan kesihatan kerana bersumberkan tumbuh-tumbuhan.
Manakala lemak tepu boleh memudaratkan kesihatan seandainya pengambilannya
secara berlebihan. Ini kerana, lemak tepu banyak diperolehi dari sumber haiwan
dan beberapa lemak sayuran umpamanya santan. Pengambilan lemak tepu yang
berlebihan di dalam badan boleh menyebabkan risiko serangan penyakit jantung
dan darah tinggi.
Hakikat yang
sebenarnya, tubuh kita sememangnya memerlukan kehadiran lemak kerana lemak
merupakan sumber tenaga yang baik dan diperlukan untuk pencernaan vitamin larut
lemak. Ia juga memberi rasa dan kualiti tekstur yang menjadikan makanan itu
berperisa.
Walaupun
begitu, kehadiran lemak yang berlebihan dalam badan boleh mendatangkan risiko
terhadap kesihatan umpamanya menyebabkan penyakit jantung koronari, angin
ahmar, kegemukan dan serangan kanser.
Sementara
itu, berdasarkan buku "Makan Untuk Kesihatan", Bahagian Pendidikan
Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan, beberapa lokasi atau
kawasan lemak dalam badan manusia merupakan faktor penting untuk menentukan
risiko kesihatan bagi orang dewasa.
Menurut kajian tersebut, lebihan
lemak di bahagian perut atau disebut "bentuk epal" mempunyai risiko
yang lebih besar berbanding lebihan lemak di bahagian pinggang atau paha yang
disebut sebagai "bentuk pear". Lebihan lemak di bahagian perut
dikaitkan dengan darah tinggi, kencing manis (diabetes), peringkat awal
penyakit jantung dan beberapa jenis kanser tertentu. Manakala jika anda lebih
lebar di bahagian pinggang daripada bahagian pinggul, anda mempunyai risiko
yang tinggi mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung
koronari dan lain-lain penyakit kronik.
Berikutan
itu, elakkanlah pengambilan lemak yang berlebihan terutamanya yang bersumberkan
haiwan dan dapatkan juzuk makanan yang mengandungi rendah lemak umpamanya tauhu
iaitu hasil kacang soya, kacang, kekacang, ikan, bijirin, sayur-sayuran dan
buah-buahan. Juzuk makanan berkenaan tidak dihadkan pengambilannya walaupun
mengandungi lemak.
Langkah Mengurangkan Pengambilan Lemak
Dalam
hubungan "lemak" dengan kesihatan manusia, lemak boleh dikurangkan
apabila setiap individu dapat mengikuti beberapa langkah tertentu. Contohnya,
masakan tradisi Melayu yang diamalkan di masa lampau menyumbang kepada
penjagaan kesihatan kerana masakan berkenaan ternyata dapat mengurangkan lemak
dalam makanan sebagaimana cara-cara berikut:
1. Memasak secara merebus atau
mengukus.
2. Mengamalkan kaedah
"bakar" dan memanggang ketika memasak.
3. Buangkan
lemak dalam daging dan ayam sebelum dimasak.
Dengan yang demikian,
berhati-hatilah dengan diet dan pemakanan anda khususnya terhadap penggemar
makanan yang mengandungi lemak. Kehadiran penyakit kronik khususnya yang
berpunca dari pengambilan lemak amat menyusahkan. Walaupun begitu, keputusan
untuk menghindarinya adalah di tangan anda. Makanlah makanan berdasarkan
pengetahuan kesihatan dan hindari makanan kerana runtunan nafsu selera
semata-mata.
Kandungan lemak dalam ayam juga boleh mengancam kesihatan tanpa disedari.
Kurangkan pengambilan lemak dalam daging lembu.
Walaupun daging telah dimasak, namun kehadiran lemak masih lagi wujud.
Ikan: pemakanan selamat dari lemak. Lebihkan pengambilannya.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH