RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 30 Mac 2014

Misteri Wanita Jeram Pasu


MISTERI WANITA JERAM PASU

PASIR PUTEH, KELANTAN:  AIR TERJUN JERAM PASU sememangnya bermisteri kerana dihuni kalangan makhluk halus yang berkeliaran di kawasan itu. Bagi yang belum pernah bertembung dengan makhluk terbabit, mereka akan menafikannya. Namun, bagi yang pernah bertembung malah dapat melihat kelibat mereka di kawasan yang dimaksudkan, mereka akan berdiam diri kerana mengetahui tentang kebenarannya.

Jeram Pasu, selain terkenal misterinya kerana terdapat tujuh buah pasu yang dikatakan tidak kelihatan pada pandangan mata kasar dan hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja, namun orang-orang tua dahulu tidak menafikannya kerana mereka sendiri ada yang melihatnya. Pasu-pasu tersebut dikatakan laluan masuk dan keluar ke alam mereka (alam jin), malah sehingga hari ini makhluk ghaib itu dikatakan melalui kawasan tersebut untuk bersembang di dunia manusia iaitu di kawasan air terjun Jeram Pasu tersebut.

Pengalaman Wartawan RELATIF ketika berkunjung ke Air Terjun Jeram Pasu ini sebanyak empat kali pada 4.4.2009, 10.9.2011, 12.11.2011 dan terbaru pada 22.3.2014 lalu turut mengalami hal yang sama. Pada tahun 2011 dulu, Penulis sendiri pernah melihat sebuah pasu dan kelibat makhluk halus di kawasan tingkat tiga iaitu hujung air terjun tersebut ketika sedang mandi di sebuah kolam jernih di tempat tersebut.

Malah anak bongsu Penulis (lelaki, iaitu anak keenam) juga dapat melihat sebatang pokok kecil yang meliuk-lintuk seperti melambai-lambai ke arahnya sedangkan pada ketika itu tiada angin yang bertiup ke arah pokok tersebut malah pokok-pokok di sekitarnya. Apabila beliau melihatnya, didapati pokok tersebut adalah seorang budak perempuan dan apabila beliau berpaling dalam beberapa saat sahaja didapati jelmaan budak perempuan itu bertukar menjadi pokok kembali.

Sementara itu, mengingatkan kejadian pada 22.3.2014 lalu, Penulis bersama keluarga (empat orang) sekali lagi datang ke Jeram Pasu untuk berkelah dan santai-santai setelah berita tentang jeram berkenaan ditutup kepada pengunjung berikutan berlakunya "wabak kencing tikus" semenjak akhir tahun 2013. Sebelum ini, kami santai-santai di kawasan jeram berpasir di tingkat satu Jeram Pasu itu sahaja.

Namun, pada tarikh tersebut kami santai-santai di sebuah kawasan yang agak jauh dari kawasan sebelum ini, di mana melihatkan keadaan tempat berkenaan memang agak meremang bulu roma, apatah lagi di kawasan yang dimaksudkan hanya di kawasan pasir yang agak sedikit, bongkah batu pula yang agak banyak. Sebelum ini juga, kawasan bongkah batu terbabit sentiasa melayani aliran air jeram yang mengalir ke bawah, tetapi pada tarikh kehadiran kami ke situ, bongkah batu itu agak kering disebabkan air jeram agak cetek.

Setibanya kami di kawasan yang dimaksudkan itu, lazimnya Penulis akan mendahului keluarga untuk melihat kawasan yang dimaksudkan, adakah sesuai untuk berkelah di kawasan tersebut. Ketika kami menuruni tebing jeram, tiada apa-apa yang kelihatan. Sehinggalah Penulis menghamparkan tikar plastik di tebing sebelah sini dan setelah keluarga Penulis semuanya berkumpul di tempat yang dimaksud, Penulis terlihat satu bentuk lembaga lelaki di atas tebing di awal kami laluinya ketika itu.

Hanya yang Penulis dapat lihat dari kepala sehingga paras pinggang sahaja, manakala dari pinggang hingga ke kaki tidak kelihatan anggota makhluk tersebut. Selang beberapa minit kemudiannya, Penulis terlihat pula bentuk lembaga (makhluk halus) di atas sebuah bongkah batu yang dimaksudkan. Tetapi kemudiannya lembaga yang berdiri di atas bongkah batu itu tiba-tiba menghilang (ghaib). Sehinggalah minit yang berikutnya iaitu ketika Penulis sedang asyik merakam foto menggunakan telefon pintar Android, Penulis dapat melihat bentuk lembaga wanita (gadis) yang melangkah dari arah tikar plastik yang Penulis hamparkan sebelumnya. Bunyi seperti ada sesuatu yang melangkah bersebelahan tikar plastik itu memang disedari oleh isteri Penulis yang ketika itu sedang duduk di atas tikar plastik berkenaan, namun ketika beliau melihat ke arah bunyi tersebut, tiada apa-apa yang berlaku.

Apa yang diketahui, ketika beberapa keping foto dirakam di kawasan terbabit, terdapat sekeping foto lagi yang dapat merakam lembaga (kelihatan matanya sahaja), namun tidak kelihatan tubuh badannya. Bahkan ketika Penulis menghalakan telefon pintar berkamera ke arah bongkah batu yang dimaksudkan, kelihatan objek (lembaga) dengan agak jelas sebanyak empat kali, namun apabila dirakam tidak kelihatan lembaga yang dimaksudkan.

Namun, paling jelas ialah apabila Penulis dapat merakam foto lembaga wanita berpakaian hitam sebagaimana yang dilihat oleh Penulis selepas menghamparkan tikar plastik itu. Tetapi, lembaga terbabit telah berada di seberang tebing. Pada hemat Penulis, mungkin lembaga terbabit agak terkejut dengan kehadiran kami yang menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain.

Sememangnya, Air Terjun Jeram Pasu adalah tempat dan perkampungan makhluk halus kerana di hujung jeram itu terdapat tujuh (7) buah pasu yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja. Koloni mereka sentiasa menyusur di antara lorong tingkat satu sehingga tingkat tiga kerana itulah juga laluan dan perkampungan mereka sejak jeram berkenaan dibuka oleh moyang Paksu Mi.

Walaupun jeram berkenaan sentiasa diseliakan dengan sempurna atau tidak, bagi koloni makhluk berkenaan tidak menjadi masalah kerana itulah tempat asal mereka. Mereka tidak akan berpindah ke tempat lain. Bagi pelaku maksiat yang berkunjung ke jeram itu semata-mata untuk melakukan perkara yang tidak senonoh pasti akan bertembung dengan makhluk terbabit, sudahnya mereka akan lari lintang-pukang kerana terkejut. Ketika itulah baharulah mereka sedar tentang kesilapan diri, bahawa mereka tidak berseorangan atau berdua sebaliknya sentiasa dinantikan dan disaksikan oleh segerombolan makhluk ghaib yang berkampung di Air Terjun Jeram Pasu.

Papan tanda menghala ke Air Terjun Jeram Pasu.

Lembaga lelaki yang dilihat Penulis berada di tepi tebing sebelah sana setelah hamparan tikar selesai.

Ketika Penulis di seberang tebing, kelihatan makhluk halus bertenggek di atas batu (bawah) sinar mentari ini.

Ketika melihat dengan kamera, kelihatan makhluk halus di atas batu ini. Tetapi apabila dialihkan kamera dan cuba merakamnya, tiada sebarang objek yang dapat dilihat.

Objek seperti dua biji mata kelihatan dalam timbunan daun-daun kayu dalam air di kolam ini.

Makhluk wanita itu melalui tempat kami menghamparkan tikar (anak panah) dengan pantas.

Jelmaan wanita berkenaan tiba-tiba muncul di seberang tebing kolam tempat kami mandi.

 Lorong tingkat satu adalah laluan pengunjung yang mandi-manda di beberapa kolam di Jeram Pasu dan kelibat makhluk halus juga sering berada di kawasan ini.

 Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 20 Mac 2014

Pantai Sri Tujoh (Tumpat)


PANTAI SRI TUJOH

TUMPAT, KELANTAN: PANTAI SRI TUJOH yang terletak di Kampung Tujoh, Tumpat, Kelantan asalnya dinamakan "Pantai Tujoh" tetapi satu istilah “Sri” telah ditambah di bahagian tengahnya supaya panggilannya lebih menarik, bersifat komersial dan indah pada pandangan umum.

Dalam konteks geografinya, Pantai Sri Tujoh menghadap ke arah Laut China Selatan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand. Terdapat beberapa teluk dan beting pasir boleh disaksikan di beberapa kawasan pantai berkenaan turut menambahkan lagi keindahan landskap Pantai Sri Tujoh.

Sebenarnya, Pantai Sri Tujoh ditadbir Majlis Daerah Tumpat (MDT) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di antara kemudahan yang disediakan pihak PBT berkenaan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti rumah tumpangan, tandas awam, musalla, dewan orang ramai, restoran dan gerai makanan serta taman kanak-kanak.

Pantai Sri Tujoh menurut catatan pada batu asasnya memang terkenal sebagai tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan sejak tahun 1983. Pantai ini juga turut dijadikan Tapak Pesta Air Kelantan 2005. Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, pantai ini dijadikan Tapak Pesta dan Ekspo Perdagangan.

Malah lazimnya, Pantai Sri Tujoh menerima pengunjung paling ramai terutamanya pada cuti hujung minggu seperti hari Jumaat (paling ramai), Sabtu dan musim cuti sekolah. Lazimnya juga, kebanyakan pengunjung yang datang ke pantai ini bersama keluarga untuk tujuan menikmati panorama pantainya yang menarik, permai dan mendamaikan.

Sesuatu yang menarik tentang Pantai Sri Tujoh ialah pantai ini kaya dengan landskapnya yang tersusun, selain pohon rhu yang hidup subur seolah-olah sebagai teman menghiburkan pengunjung dengan lambaian bayu berpuput lembut menambahkan lagi kenyamanan dan ketenangan apabila berada di pantai ini, selain terdapat beberapa spesis seperti anak ikan belacak dan ikan jejuluk sebagai penghias di beberapa tasik di pantai ini.

Melihatkan keadaan seni pantainya itu menunjukkan Pantai Sri Tujoh (Tumpat) telah mengalahkan pantai-pantai lain yang ada di Kelantan seperti Pantai Irama (Bachok), Pantai Melawi (Bachok), Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu) dan Pantai Sabak (Kota Bharu). Ini menunjukkan, komitmen yang ditunjukkan dan diambil perhatian oleh Majlis Daerah Tumpat ini yang dapat meningkatkan seni landskap pantainya sehingga menjadi kenangan dan menggamit pengunjung adalah sesuatu yang boleh dipuji dan usaha berkenaan perlu diteruskan dalam usaha untuk melihat pantai-pantai di negara dan di negeri kita dalam keadaan sempurna dan tidak terbiar.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Sri Tujoh bersama keluarga kerana pengunjung tidak akan rugi malah dapat menghilangkan rasa resah apabila berada di pantai ini.

Papan tanda arah masuk.

Batu asas Pantai Sri Tujoh.


Chalet yang cukup menarik dan selesa.

Masjid yang cantik dan selesa juga turut disediakan kepada pengunjung beragama Islam untuk bersolat.


Restoran dan gerai makanan.

Tandas awam.


Permainan air juga disediakan kepada pengunjung dengan bayaran yang berpatutan.


Papan tanda larangan.



Pemandangan yang mempesonakan di Pantai Sri Tujoh.



Pantai Sri Tujoh juga turut diserikan pokok rhu yang hidup subur.

Ikan belacak menghiasi Pantai Sri Tujoh.

Ikan jejuluk juga gemar memakan makanan ringan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 1 Mac 2014

Rantau Panjang: Zon Bebas Cukai


RANTAU PANJANG: ZON BEBAS CUKAI

RANTAU PANJANG: Rantau Panjang yang terletak di Utara negeri Kelantan adalah sebuah bandar yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand. Ia berada kira-kira 39 kilometer di barat daya bandar Kota Bharu dan terletak berhampiran dengan Sungai Golok, Thailand.

Bandar Rantau Panjang termasuk dalam peta pelancongan negeri Kelantan malah lebih tepat lagi bandar ini dikenali sebagai “Zon Bebas Cukai”. Pelbagai jenis barangan boleh didapati di bandar ini bermula dari pakaian, makanan hinggalah barangan dapur yang agak bermutu yang boleh dibeli dengan harga yang agak berpatutan dan murah jika dibandingkan dengan harga di kedai-kedai biasa.

Selain itu, beberapa unit penguatkuasaan turut ditempatkan di kawasan zon bebas cukai ini seperti Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia di pintu masuk zon ini bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dalam usaha mencegah penyeludupan seperti dadah, beras, gula, manusia dan sebagainya.

Lazimnya, Rantau Panjang menerima tetamu yang agak luar biasa ketika musim-musim perayaan, cuti persekolahan, cuti mingguan dan cuti umum. Ini kerana, kebanyakan yang datang ke sini bersama keluarga adalah semata-mata untuk mendapatkan barangan yang dihajatkan seperti pakaian umpamanya baju, kain cadar, kain selimut, cenderamata, barangan keperluan dapur dan sebagainya yang harganya tidak diperolehi di tempat-tempat yang lain.

Walaupun barangan seumpamanya boleh dibeli di Pengkalan Kubor, Tumpat atau di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, namun pilihan terbaik hanya boleh didapati di Rantau Panjang. Bukan sahaja harganya agak murah, namun kebanyakan pengunjung atau pembeli lebih menitikberatkan pilihan yang sesuai dengan kehendak mereka.

Sesuatu yang amat menarik khususnya bagi pengunjung-pengunjung dari Kelantan sendiri, kebanyakan peniaga tidak lokek dengan harga. Ada beberapa jenis pakaian yang dijual RM10 (4 helai) dan RM10 (3 helai) diberikan diskaun sendiri oleh peniaga. Sesuatu yang paling menarik, walaupun harga untuk barangan berkenaan telah ditetapkan, namun pembeli boleh cuba membuat tawar-menawar jika barangan yang akan dibeli itu dirasakan masih tidak dipersetujui oleh mereka. Buktinya, Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh sendiri telah membeli seutas tali pinggang dengan harga RM10 walaupun harga yang ditetapkannya ialah RM13, bahkan harga tali pinggang berkenaan di gedung pakaian di Kota Bharu ditetapkan dengan harga RM15-99 dan dua biji bantal ditawarkan dengan harga RM26, sedangkan di Kota Bharu dijual dengan harga RM20 sebiji.

Justeru, bagi pengunjung yang tidak pernah datang ke kawasan Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang, bolehlah mengambil peluang di musim-musim cuti sambil merantau dan membeli-belah di sana.

Laluan pintu masuk ke Zon Bebas Cukai.













Pelbagai jenis barangan boleh dibeli di kawasan Zon Bebas Cukai, Rantau Panjang, Kelantan.

Video Rantau Panjang: Zon Bebas Cukai ini boleh ditonton melalui You Tube di alamat:
www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH