RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 25 Julai 2013

Pakar Urut dan Refleksologi



PAKAR URUT DAN REFLEKSOLOGI

KOTA BHARU, KELANTAN:  PENYAKIT datang seperti kilat tetapi kembali (sembuh) seperti semut merayap. Ia berpunca daripada kecuaian serta sikap tidak ambil peduli di kalangan segelintir manusia yang terlalu lambat menerima rawatan. Apabila ditahap kritikal, barulah mereka mula menggelabah. Sepatutnya apabila berasa tanda-tanda tidak sihat seperti berdenyut, kebas atau sengal-sengal di beberapa bahagian sendi dan saraf merupakan sebahagian daripada syarat berlakunya gangguan kesihatan. Namun, kebanyakan kita tidak mempedulikannya, akibatnya menderita seumur hidup dan tentunya menyesal tidak sudah.

Membicarakan perihal rawatan, sama ada rawatan moden atau berdasarkan kaedah rawatan tradisional, kedua-duanya mempunyai satu tujuan sahaja dalam hidup manusia iaitu memperolehi kesihatan yang baik, sempurna serta dapat menjalani kehidupan yang sihat, jelas Pakar Urut, Refleksologi dan Rawatan Tradisional, Haji Remli bin Musa, 56, atau dikenali juga Abang Haji dari Kampung Seribong, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu.

Selain pakar urut yang begitu mahir dengan sendi dan saraf dalam tubuh manusia, beliau turut menggabungkan di antara kaedah mengurut secara tradisional dan refleksologi, malahan turut merawat penyakit yang berpunca daripada gangguan makhluk halus berdasarkan kaedah tertentu sehingga pesakit sembuh sepenuhnya.

Ketika diminta menceritakan kisah hidupnya berhubung dengan rawatan yang dilakukannya, beliau mempelajari ilmu di bidang berkaitan semenjak usia 13 tahun lagi di mana beliau memperolehi ilmu tersebut secara sepontan (melalui ilham), walaupun tidak menolak disebabkan dari keturunan moyangnya sendiri yang mahir dengan perubatan terbabit. Apatah lagi, sejak kecil beliau sendiri amat berminat untuk berbakti kepada orang yang memerlukan pertolongan walaupun pada masa itu beliau masih belum memahami apa-apa tentang rawatan yang dimaksudkan.

"Pengalaman pertama saya semasa merawat pesakit strok di mana dalam hati saya berharap penyakit ini sembuh dengan segera. Selepas itu, saya merawat penyakit busung (uluran) terutama di kalangan kanak-kanak yang berpenyakit batu zakar besar sebelah.

"Kaedah rawatan saya ialah dengan memohon doa meminta Allah memperkenankan harapan saya supaya penyakit itu sembuh seperti sediakala", ujarnya yang juga pernah berlakon dalam sebuah drama tempatan sebagai pelakon tambahan.

Namun, disebabkan beliau masih belum dikenali menyebabkan rawatan yang dilakukannya seperti tenggelam dan timbul silih berganti kerana masih belum lagi memiliki ilmu yang secukupnya di bidang terbabit. Berikutan minat yang semakin mendalam ditambah pula dengan usahanya yang tidak pernah jemu kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit yang dianggap tenat pada masa itu, beliau mula mempelajari kaedah mengurut daripada bapanya dan semenjak itu juga minatnya dalam bidang mengurut semakin menyerlah. Pada tahun 2000 ketika usianya mencecah 48 tahun, dari sekadar minat mengurut beliau menjadikannya kerjaya sepenuh masa dalam usaha membantu orang ramai yang memerlukan khidmatnya sebagai pakar urut.

"Walaupun memulakan aktiviti mengurut, saya masih meneruskan pembelajaran di bidang berkaitan sehingga hafal tentang ilmu itu. Di samping mengurut, saya turut merawat mangsa buatan orang, kanak-kanak terkena sawan, lemah tenaga batin, resdung, buasir, masalah kencing, penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pasangan tidak memiliki anak", katanya.

Haji Remli berkata, sebelum membuat urutan beliau akan melihat keadaan pesakit terbabit. Sekiranya pesakit itu terseliuh urat di leher termasuk pesakit tersalah bantal semasa tidur, beliau akan memulakan urutan di bahagian leher itu. Apabila pesakit itu tersalah di bahagian pinggang, beliau akan mengurut di bahagian pinggang. Ini kerana menurutnya, di bahagian pinggang merupakan kawasan penting terletaknya urat saraf. Baginya, kebanyakan golongan lelaki ini mengalami gangguan kesihatan disebabkan masalah di bahagian pinggang, jadi sewajarnya bahagian tersebut perlu diberikan keutamaan.

Manakala di bahagian kaki pula beliau akan membuat urutan refleksologi kerana menurutnya di bahagian kakilah terdapatnya urat saraf yang berhubung kait dengan jantung, paru-paru dan organ-organ penting yang lain. Selain itu, beliau juga akan bergantung kepada keadaan kesakitan yang dialami oleh pesakit itu sendiri. Menurutnya, keadaan manusia tidak sama dan bertolak dari itu beliau berpendapat kadang-kadang individu manusia mempunyai penyakit yang agak pelik dan berbeza-beza.

Tambahnya, masalah terseliuh urat sebagaimana yang dialami kebanyakan orang kerana bersukan, terjatuh atau kemalangan akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat malah perlu diurut secepat mungkin. Katanya, terseliuh akibat terjatuh akan mengakibatkan sendi pesakit itu berlipat. Di bahagian cedera ini akan wujud darah beku (darah kotor). Dalam hal ini, jika di bahagian berkenaan tidak diurut, pesakit akan terus menderita sakit yang agak lama kerana urat di bahagian ini telah dimasuki angin.

Selain strok, beliau pernah merawat pasangan yang tidak memiliki anak walaupun beberapa tahun telah mendirikan rumahtangga. Tambahnya, apabila beliau memberikan rawatan pesakit perlu yakin dengan ikhtiar yang dilakukannya supaya masalah berkenaan menemui kejayaan.

Katanya, walaupun terdapat individu yang pernah menerima rawatan di hospital, jika belum sembuh juga, cuba-cubalah dengan rawatan tradisional. Ini kerana menurutnya, kadang-kadang ada jenis-jenis penyakit sembuh di hospital dan kadang kala sembuh dengan rawatan tradisional. Ini bermakna, di antara rawatan tradisional dengan moden perlu seiring.

Terangnya lagi, bagi individu yang telah lama mendirikan rumahtangga tetapi gagal mendapat zuriat, kedua-dua pasangan tersebut diminta datang berjumpa dengannya, penting untuk melihat keadaan pasangan untuk mengenal pasti, adakah suami isteri itu yang bermasalah. Menurutnya, kegagalan memperolehi cahaya mata berkait rapat dengan masalah hormon atau kelemahan hormon sama ada di pihak suami mahupun isteri. Kadang-kadang keadaan hormon di pihak isteri tersekat atau terhalang oleh sesuatu sebab tertentu. Jika wujud halangan hormon di pihak isteri, beliau akan meminta si wanita itu meminum air tawar yang telah diisikan dengan wirid dan doa dari ayat-ayat Al-Quran.

"Saya pernah merawat pesakit yang mengalami sesak nafas. Puncanya disebabkan tulang rusuk mangsa tersepit di antara kedua-duanya. Disebabkan masalah pernafasan itu menyebabkan oksigen tidak dapat mengalir masuk ke bahagian paru-paru.

"Selepas itu, saya menggunakan kaedah urutan di kedua-dua tulang rusuk menurut cara yang tidak menyakitkan dan disukai pesakit", jelasnya.

Selain itu, beliau juga turut membuat rawatan penyakit kulit di mana penyakit ini berpunca daripada keadaan darah yang kotor. Kaedah yang diamalkannya ialah dengan memberikan ubat tradisional yang dihasilkannya sendiri kepada pesakit di mana bahan-bahan resipinya adalah terdiri dari hormon tumbuh-tumbuhan. Jika pesakit enggan menerima rawatan darinya atas sebab-sebab tertentu, beliau menasihatkan pesakit supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Di samping itu, penyakit gastrik atau dialek Kelantan disebut 'medu' adalah berpunca daripada keturunan yang diakibatkan masalah gangguan angin dalam badan. Walaupun telah dirawat secara moden, penyakit ini tidak akan sembuh sepenuhnya. Oleh kerana penyakit ini disebabkan 'angin' dalam badan, perlulah pesakit berpantang. Setakat ini penyakit medu yang dirawatnya sembuh seperti sediakala kerana beliau berpegang kepada kata-kata Nabi S.A.W  bahawa "setiap penyakit itu ada ubatnya". Cara rawatan itu adalah penting, jika kena dengan kaedahnya, insya Allah penyakit yang dihidapi pasti sembuh.

Perumpamaan beliau berhubung masyarakat sekarang seperti sebuah kenderaan. Katanya, individu sekarang lebih menitikberatkan kenderaan daripada dirinya sendiri. Contohnya, apabila kenderaan mengalami kerosakan kenderaan tersebut dibaiki dengan segera kononnya jika kenderaan sakit perjalannya juga tidak sempurna. Tetapi apabila melibatkan diri sendiri mengalami gangguan kesihatan, individu terbabit tidak mempedulikannya kerana menganggap masih boleh bertahan lagi. Apabila tubuh tidak lagi boleh bangun, barulah mereka menggelabah untuk mendapatkan rawatan dengan memanggil beliau supaya merawatnya.

"Dalam soal ini, jangan tunggu sampai tahap mudarat barulah ingat untuk menerima rawatan. Justeru, apabila terasa kebas dan tidak selesa, segera dapatkan rawatan.

"Rawatan awal itu lebih baik dan boleh memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan. Sebab itu, jika ada individu terkena strok beliau akan memberikan rawatan segera walaupun tidak menjamin seratus peratus kerana kalau sembuh pun hanya separuh sahaja", ujarnya.

Dalam pada itu, sakit kepala yang dikenali "migrain" disebabkan masalah saraf. Untuk menyembuhkan penyakit ini perlukan urutan di mana sarafnya terletak di bahagian kepala. Saraf ini menurutnya adalah sejenis urat yang agak halus di mana urat ini tidak tahan kepada cuaca terlalu panas. Namun hakikatnya, migrain adalah berpunca daripada tekanan dan gangguan emosi. Jadi, jika berupaya boleh hindarkan dari tekanan, cuba hindarkan.

Di belakang tengkuk (leher) dipanggil saraf tunjang. Misalnya sebatang pohon semestinya ada akar. Begitulah halnya dengan manusia. Daripada saraf tunjang inilah manusia akan mengalami sakit kepala, sebab darah tidak mengalir ke bawah sebabnya terhalang oleh pelbagai masalah dalam saraf itu. Cara mengatasinya, urat di bahagian itu perlu diurut berdasarkan kaedah urutan yang betul.

Sementara itu, ada segelintir pesakit sering berasa kebas yang berpunca masalah perjalanan darah yang tersekat-sekat. Pertama, kena jaga supaya peralanan darah itu betul. Jika wujud kaitan seumpamanya rawatan seperti urutan dan refleksologi di bahagian jari seperti paru-paru, pankreas, saluran kencing dan buah pinggang adalah perlu. Ini kerana, kalau ingin disebutkan sehingga berpuluh-puluh urat dan saraf di tapak kaki, manakala dalam satu tangan mempunyai 12 jalur urat saraf seperti paru-paru, usus, jantung, buah pinggang serta injap dalam jantung. Apabila diurut di bahagian jari-jari tangan akan sampai ke bahagian otak dan organ-organ yang lainnya. Apabila diurut di bahagian ini, tukang urut sepertinya akan dapat mengetahui jenis penyakit yang dialami oleh mangsa.

"Biasalah tukang urut seperti saya, setiap kali selepas mengurut saya akan merawat diri sendiri bimbang disebabkan pesakit akan mendatangkan masalah kepada saya pula.

"Misalnya penyakit strok adalah salah satu gangguan syaitan dan iblis yang sukakan tempat tinggal menarik di antara sendi-sendi manusia. Makhluk itu akan melekat pada sendi-sendi dalam tubuh manusia umpamanya sendi lutut dan sendi tangan, sebab itulah kita tidak dapat melakukan pergerakan di mana dalam tubuh manusia ini, terdapat 300 sendi dan 666 urat saraf", terangnya.

Menurutnya lagi, setiap manusia yang ingin hidup sihat perlulah menjaga jantungnya sendiri seperti mengadakan aktiviti yang boleh menyihatkannya seperti bersenam dan juga mengurut. Jika dapat dituruti dua kaedah tersebut, tubuh manusia pastinya dalam keadaan selamat. Sehubungan itu menurutnya, apabila badan berasa agak berbeza dengan sebelumnya, segeralah melakukan pemeriksaan awal kerana dengannya akan dapat menyelamatkan tubuh kita. Ini kerana, tubuh manusia seumpama dengan kenderaan juga, jika kenderaan boleh rosak begitulah halnya dengan manusia, perlukan pemeriksaan dan rawatan.

Sementara itu, selain pakar dalam bahagian mengurut, Haji Remli juga bersedia merawat mangsa gangguan makhluk halus. Menurutnya, makhluk halus adalah makhluk Allah juga dan ia berada di mana-mana. Cuma dalam konteks manusia, jika manusia itu kuat semangat akan dapat mengatasi segala gangguan yang berpunca daripada makhluk berkenaan. Manakala golongan yang lemah semangat akan sentiasa disakat oleh makhluk tersebut.

"Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit akibat gangguan makhluk halus itu didapati mangsa pengsan. Walau bagaimanapun, mangsa akhirnya sedar dari pengsan itu setelah saya merenjiskan air solat hajat kepada mangsa. Dengan solat hajat itu menyebabkan terlerainya gangguan itu", katanya.

Tambahnya lagi, beliau pernah merawat seorang wanita yang menjadi mangsa makhluk halus berasal dari Kuala Lumpur. Mukanya bengis dan selalu marah-marah.

"Apabila saya tiba di rumah mangsa pada malam itu, saya merawatnya menggunakan benang, asam limau purut, sementara kaki mangsa saya pegang. Dalam waktu yang sama saya melaungkan "Allah hu akhbar" sebanyak tiga kali. Alhamdulillah, tak sampai beberapa saat, makhluk halus yang mendiami dalam tubuh mangsa itu keluar seperti angin".

Pada hari yang lain, beliau pernah dikejutkan oleh seorang pesakit yang diakibatkan oleh gangguan jin, ketika itu jam 2.00 pagi. Memanglah pada waktu itu beliau terasa amat mengantuk kerana sehari suntuk memberikan rawatan dan urutan kepada beberapa orang pesakit di rumahnya pada sebelah siang, namun beliau terpaksa gagahi juga kerana berharap pesakit tidak berasa kecewa. Apa yang beliau faham sehingga hari ini, pesakit tersebut berkeadaan baik kerana makhluk yang sering mengganggu mangsa tidak lagi berbuat demikian.

"Makhluk halus memang gemar kepada tubuh manusia, mereka memasuki tubuh manusia melalui kaki lantas bergerak melalui urat saraf menuju ke bahagian kepala. Itulah yang menyebabkan manusia diserang histeria", jelasnya.

Apabila ditanya tentang histeria dan santau, beliau menjelaskan bahawa histeria disebabkan sikap manusia sendiri yang cuba mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu. Kebanyakan mangsanya terdiri daripada kaum hawa walaupun tidak menolak kaum lelaki juga terkena gangguan ini kerana lemah semangat. Baginya, cara memulihkan gangguan histeria ialah dengan meminta makhluk halus itu berpindah ke kawasan lain yang lebih sesuai.

Sementara santau pula, beliau menyarankan kepada individu yang menaruh perasaan dendam kepada individu lain supaya tidak melakukan pekerjaan terkutuk itu, sebab perbuatan berkenaan adalah berdosa. Jika ada individu tertentu berniat untuk berbuat demikian perlulah berfikir secara matang untuk tidak melakukannya.

Ditanya tentang sambutan pesakit terhadap kaedah mengurut dan rawatan lain, beliau menjelaskan bahawa, setakat ini keyakinan pesakit terhadap rawatan yang dilakukannya amat menggalakkan disebabkan urutan dan rawatan yang dilakukannya agak berkualiti dan sempurna. Baginya wang upah rawatan adalah nombor dua, tetapi baginya pula niat untuk berkhidmat dan memberikan pertolongan itu adalah paling utama. Katanya, apabila kita membuat rawatan dengan sempurna, pesakit akan cari kita kerana menganggap kita mampu melakukannya yang terbaik. Kebanyakan pesakit yang pernah menerima rawatan darinya terdiri daripada menteri dan beberapa orang kenamaan, ahli politik, anggota polis dan bekas ketua turus angkatan tentera Malaysia.

Menurutnya, walaupun sewajarnya pesakit perlu datang ke rumahnya untuk menerima rawatan, namun jika keadaan pesakit itu agak tidak mengizinkan untuk berbuat demikian, beliau akan menemui pesakit berkenaan. Namun baginya, jika beliau perlu merawat di rumah pesakit, keluarga pesakit itu sendiri yang datang menjemputnya. Kesempatan ini akan digunakannya untuk memagar kawasan kediaman mangsa supaya tiada lagi gangguan makhluk halus luar datang mengganggu. Khidmat seumpamanya selain pesakit dari Kelantan sendiri, beliau pernah ke Kedah dan Perak untuk memagar rumah pesakit.

"Saya tidak meletakkan bayaran, atas dasar ikhlas pesakit dan keluarga mereka. Bagi saya tidak pernah berkata tidak cukup, namun kadang-kadang saya pernah menerima bayaran RM30, RM50 malah pernah diberikan sebanyak RM100, bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan pesakit itu sendiri", ujarnya.

Beliau menyarankan kepada individu yang berharap kepada khidmatnya, sebaik-baiknya perlu datang sendiri, kerana dengan kehadiran pesakit beliau akan dapat mengetahui masalah sebenar. Setakat ini, bukan sahaja beliau merawat di rumah pesakit, namun menariknya beliau juga membuat rawatan di hospital atas permintaan pesakit sendiri. Ini kerana, tidak semua penyakit dapat diatasi oleh doktor, justeru dalam masa yang sama khidmat rawatan alternatif juga diperlukan. Malahan kadang-kadang rawatan alternatif menemui kegagalan, jelas rawatan moden dan alternatif perlu seiring kerana kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Haji Remli turut menekankan tentang masalah penyakit yang menghantui manusia hari ini kerana sikap tidak peduli kalangan mereka sendiri. Orang-orang tua dahulu walaupun ketiadaan pusat rawatan seperti hospital, namun usia mereka agak panjang sehingga 100 tahun. Malangnya, dewasa ini usia seperti itu semakin menurun akibat permasalahan pemakanan yang terdiri daripada bahan-bahan yang memudaratkan menyebabkan ramai yang mendapat sakit dan meninggal dalam usia muda.

Perihal makanan yang dimakan oleh masyarakat kita sekarang tidak sebagaimana dulu. Masyarakat dulu memperolehi makanan yang bebas bahan-bahan kimia dan racun, sebab itulah usia mereka mencecah beratus tahun. Berbanding hari ini, teknologi makanan kini ternyata bergantung kepada bahan-bahan kimia dan racun dalam usaha menghindarkan masalah serangga perosak dan sebagainya. Cuma tumbuh-tumbuhan yang masih bebas dari bahan racun seperti pucuk paku dengan kangkung sahaja manakala bahan-bahan makanan yang lain telah dicemari bahan-bahan kimia dan racun.

Walau bagaimanapun, beliau perturunkan petua orang-orang tua dan kaedah untuk menghilangkan kesan racun ialah hendaklah direndam dengan air garam untuk mengelakkan kesan racun tersebut. Ini kerana, teknologi hari ini jika tidak menggunakan racun, ulat dan serangga mengambil peranan memakan bahan-bahan makanan itu.

Dalam hal ini, bersegeralah membuat pemeriksaan sama ada secara moden mahupun secara tradisional sama ada berjumpa beliau sendiri atau sesiapa yang mahir dalam bidang berkaitan. Jangan terlalu lewat melebihi tiga hari barulah ingin membuat pemeriksaan dan rawatan, ini tentunya akan mengancam kesihatan.

Justeru, ketahuilah juga tanda-tanda tidak sihat seperti berasa kebas untuk menunjukkan gangguan kesihatan bermula kerana aliran darah itu telah terganggu dan tersekat. Hebatnya tubuh manusia kerana dapat mengesan masalah gangguan dalam tubuh mereka. Cara mengatasinya ialah dengan mengurut supaya aliran darah itu kembali normal. Apabila tubuh kita sihat, tentunya kita dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan sempurna.

Haji Remli boleh dihubungi melalui telefon:
013-9671975

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Isnin, 15 Julai 2013

Makanan Seimbang


MAKANAN SEIMBANG

RAMAI di kalangan masyarakat kita yang membuat tanggapan salah tentang makanan. Mereka mendakwa makanan adalah suatu persoalan yang agak remeh, dalam soal ini mereka mengenepikan perihal makanan kerana mendakwa ia hal yang tidak begitu penting. Dalam konteks ini menunjukkan, masyarakat kita tidak begitu peka dan amat lemah dalam menilai kepentingan serta peranan sesuatu jenis dan juzuk makanan itu. Dengan demikian, terdapat di kalangan mereka yang mendapatkannya menurut kehendak hati tanpa memperhitungkan di sebaliknya.

Takrif makanan merupakan suatu juzuk yang paling berharga kepada manusia dan kesihatan mereka. Ia memberikan kadar kandungan zat yang tertentu serta fungsinya terhadap tubuh badan manusia adalah sesuatu yang amat penting. Bahkan dalam konteks kesihatan, seandainya wujudnya kekurangan tentang keperluan tersebut, tentunya implikasi kesihatan akan timbul.

Dalam konteks dan amalan pemakanan harian, makanan yang kita nikmati dewasa ini meliputi tiga kumpulan penting yang mempunyai peranannya tersendiri terhadap kesihatan iaitu:

1. Makanan yang memberikan tenaga.
2. Makanan yang membina badan.
3. Makanan yang menjauhkan penyakit.

Karbohidrat

Makanan yang memberikan tenaga adalah terdiri dari "Karbohidrat". Karbohidrat merupakan sumber tenaga terpenting terutamanya untuk pembesaran anak-anak. Pada asasnya, karbohidrat meliputi kanji dan gula. Manakala bekalan makanan bagi unsur ini terdiri dari nasi, mi dan roti yang banyak membekalkan tenaga bagi anak-anak yang sedang membesar serta untuk keperluan terhadap seseorang yang bekerja kuat yang amat memerlukan lebih tenaga berbanding seseorang yang tidak bekerja kuat.

Disebabkan unsur ini bertindak untuk pembesaran tubuh di samping sebagai sumber tenaga, ia juga dipanggil "pengganti protein". Lemak juga turut disimpan apabila berlakunya zat tenaga berlebihan daripada keperluan dan boleh digunakan pada masa kekurangan tenaga.

Pakar-pakar pemakanan telah mengenal pasti bahawa karbohidrat memberikan 30 peratus kandungan di dunia kini. Berikutan itu, untuk memperolehi tenaga yang mencukupi, setiap daripada kita perlu mengetahui anggaran kuantiti makanan yang dicadangkan yang diambil pada sekali makan, terutama bagi seseorang wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun, berat 50 kilogram dan mempunyai aktiviti sederhana.

Walaupun begitu, di dunia yang semakin canggih dengan pelbagai jenis makanan kini, masih ramai lagi yang terkeliru, dikelirukan dan tidak peka dengan sumber karbohidrat itu. Mereka berpendapat, semua jenis makanan yang dihidangkan dan terpampang di depan mata mengandungi sumber tenaga yang dimaksudkan tanpa menilai yang manakah yang perlu diutamakan.

Sebenarnya, karbohidrat meliputi dua peringkat iaitu karbohidrat kompleks dan karbohidrat yang diproses. Karbohidrat kompleks terdiri dari bijirin tulen seperti beras perang, roti gandum tulen dan barli. Sayur-sayuran pula seperti sengkuang, kentang, lobak merah, buah-buahan mentah dan kekacang.

Manakala karbohidrat yang diproses terdiri dari semua jenis gula, coklat, minuman ringan, mi dan banyak lagi. Oleh itu, penilaian dan pemilihan yang tepat untuk memperolehi makanan tulen dan sebenarnya ialah karbohidrat kompleks kerana ia mengandungai banyak zat makanan yang diperlukan.

Anggaran Kuantiti Makanan Untuk Keperluan Tenaga

 Sumber: Unit Pendidikan Kesihatan dan Unit Pemakanan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Kelantan.

Protein

Makanan yang membina badan adalah wajar dititikberatkan di dalam sajian harian. Lazimnya, ciri pemakanan yang tergolong dalam juzuk berkenaan ialah "Protein". Pada hakikatnya, protein merupakan bahan pembentuk asas bagi tubuh. Bahkan keperluan terhadapnya begitu ketara serta sangat penting terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar, para remaja, ibu-ibu sedang hamil, ibu-ibu yang menyusukan bayi dan waktu pemulihan dari penyakit.

Pada dasarnya, protein adalah terjadi daripada kira-kira 22 asid amino. Ia merangkumi 20 peratus daripada jumlah berat tubuh orang dewasa. Di samping itu, ia merupakan sebahagian dari setiap tisu dan meliputi bahan utama untuk pembinaan hormon, antibodi, enzim, darah dan susu ibu.

Manakala peranannya kepada tubuh badan dan kesihatan amat tidak boleh dipertikaikan lagi untuk:
1. Pertumbuhan, pembaikan dan pengekalan tubuh.
2. Membina tisu baru dan menggantikan tisu lama.
3. Membentuk pembekuan darah.
4. Membawa oksigen di samping zat makanan ke seluruh urat saraf.

Di antara juzuk makanan yang mengandungi kadar protein, ia dapat dibahagikan kepada dua punca iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran. Pakar-pakar pemakanan mempercayai bahawa haiwan merupakan punca kadar protein terbanyak seperti arnab, ikan, daging lembu, telur, susu dan pelbagai lagi.

Protein dalam sayur-sayuran kadang-kadang dianggap mempunyai mutu makanan yang kurang daripada protein dalam haiwan kerana protein dalam sayur-sayuran itu mungkin berkurangan satu atau dua asid amino yang penting pada tubuh. Oleh itu, protein dalam beras dan bijirin itu kurang "lysine", dalam kekacang kurang "methionine" dan dalam jagung kurang "trytophan" dan "lysine".
(Sumber: Buku Makanan dan Pemakanan di Malaysia, Dr. Y.H.Chong, 1969)

Namun begitu, kekurangan protein itu kadang kala dipanggil "kekurangan kalori zat protein" yang amat penting dalam sajian kanak-kanak turut memberikan kesan-kesan tertentu terhadap mereka. Kekurangan protein itu boleh menimbulkan pelbagai komplikasi terhadap kesihatan dan penyebab penyakit seperti "kwashiorkor" dan "marasmus".

Walaupun begitu, ia dilaporkan kurang mendatangkan masalah di dunia kini kerana punca-punca sedemikian telah bercampur-baur dengan masalah-masalah kesihatan yang lain atau sebaliknya.

Kandungan Protein Dalam Makanan Malaysia
(mg per 100 g bahagian yang boleh dimakan)

Sumber: Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988)

Keperluan Protein: Anggaran Makanan Diperlukan Sehari

 Sumber: Unit Pendidikan Kesihatan dan Unit Makanan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Kelantan.

 Manakala ciri-ciri makanan yang menjauhkan penyakit juga amat wajar diambil perhatian dalam konsep pemakanan hari ini. Antara jenis-jenis makanan yang meliputi kumpulan berkenaan adalah terdiri dari "Vitamin" dan "Garam galian".

Vitamin

Vitamin merupakan satu kumpulan benda organan dan khasiat makanan yang amat penting untuk hidup bahkan amat diperlukan oleh tubuh supaya berfungsi dalam keadaan normal. Keperluan kepada vitamin patut diutamakan bagi perkembangan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak. Ia meliputi dua aspek iaitu:

1. Vitamin "larut lemak" seperti A, D, E dan K yang hanya larut dalam benda-benda lemak sajian dan penyerapannya bergantung kepada ada atau tiada lemak yang dimakan.

2. Vitamin "larut air" seperti vitamin B Kompleks termasuk B1, B2, B5, Nicotinamide, Asid Folik dan B12 serta vitamin C.
(Sumber: Buku Makanan dan Pemakanan di Malaysia, Dr. Y.H.Chong, 1969)

Di dunia yang semakin canggih dengan pelbagai jenis makanan kini, masyarakat pengguna juga perlu peka dan menilai apakah jenis vitamin yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan dan ahli sains yang amat sesuai kesihatan mereka. Ini kerana, vitamin dapat dibahagikan kepada dua ciri iaitu vitamin asli dan vitamin tiruan. Vitamin asli itu adalah khasiat pemakanan sejati dan seimbang yang sememangnya amat diperlukan oleh tubuh untuk menjamin kesihatan yang lebih sempurna. Bahkan kita perlu mengelakkan pengambilan vitamin tiruan yang ternyata boleh menimbulkan pelbagai risiko terhadap kesihatan.

Vitamin A adalah satu-satunya vitamin yang amat popular dalam nilai pemakanan di dunia hari ini. Sifatnya yang boleh larut dalam lemak sajian menunjukkan kebaikan yang paling sesuai bagi kanak-kanak terutamanya dalam saluran penghadaman mereka.

Disebabkan kekayaan Vitamin A yang begitu ketara, ia dapat dibahagikan kepada dua punca iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Vitamin A yang bersumberkan dari haiwan seperti hati (ayam, lembu), telur (kuning telur), susu, mentega dan minyak ikan. Manakala sumber dari sayur-sayuran dan buah-buahan terdiri dari bayam, lobak, cekur manis, ubi keledek, betik, mangga dan sebagainya.

Di samping itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa vitamin A juga mempunyai peranannya yang tersendiri untuk:

1. Menjaga kesihatan mata (penglihatan waktu siang dan malam).
2. Menjaga kesihatan sel-sel selaput (terutamanya dalam mulut, hidung, tekak dan saluran pernafasan).
3. Menjaga kesihatan rambut dan kulit.
4. Menolong dalam penahanan daripada jangkitan.

Vitamin A juga mempunyai ciri-ciri penyembuhan. Ramai saintis mempercayai vitamin A boleh mengurangkan risiko kanser terutama kanser paru-paru, saluran kencing, pundi kencing dan peti suara (larinks).
(Sumber: Utusan Pengguna, CAP, Ogos 1989)

Vitamin B1 dikenali juga sebagai "Thiamin". Ia bersifat larut dalam air dan mudah musnah apabila dimasak. Walaupun begitu, vitamin B1 begitu penting untuk ungkai bina karbohidrat dan janahayat lapis luar bijirin seperti beras. Antara sumber vitamin B1 selain beras ia boleh diperoleh daripada gandum yang dikisar, kacang hijau, biji gajus, kacang tanah dan taugeh.

Peranan vitamin B1 kepada tubuh adalah untuk menjaga kesihatan urat saraf, menjaga selera dan penghadaman yang lebih sempurna serta pembesaran yang baik.

Walaupun begitu, apabila kekurangan vitamin ini, ia dikatakan boleh mengakibatkan penyakit basal. Puncanya ialah apabila memakan terlalu banyak nasi beras putih yang dikilang sedangkan beras berkenaan telah banyak kekurangan Thiamin.

Menurut Dr. Y.H.Chong melalui bukunya "Makanan dan Pemakanan di Malaysia" menyatakan dalam tahun 1901, seorang Doktor Bedah Negeri Sembilan bernama Dr. Braddon pernah melaporkan, orang-orang India yang memakan nasi beras rebus dan orang-orang Melayu yang memakan nasi beras tumbuk tidak menghidapi penyakit ini (basal) berbanding dengan orang-orang Cina yang suka makan nasi beras putih. Bahkan tanda-tanda kekurangan sedikit zat thiamin tidak dapat ditetapkan dan termasuk penyakit letih, tiada selera makan, pemarah dan tidur tidak lena.

Vitamin B2 dipanggil juga "Riboflavin" yang meliputi sebahagian daripada pelbagai sistem enzim di dalam tubuh yang memungkinkan pengoksidaan selulos dan penggunaan tenaga. Ia juga merupakan sejenis vitamin dan zat makanan yang amat penting bagi tubuh terutamanya untuk menjaga kesihatan mata, kulit dan urat saraf.

Vitamin B2 bersifat larut dalam air dan selalu digunakan untuk menyukat zat dalam makanan, bendalir hayat dan biji-biji vitamin. Sumber-sumber vitamin berkenaan diperolehi dari susu, daging, telur, sayur-sayuran berdaun hijau, kacang dal, kacang hijau dan tempe.

Menurut Dr. Y. H. Chong lagi bahawa, kekurangan riboflavin boleh mendatangkan risiko terhadao kesihatan. Antaranya retak atau luka-luka di sudut mulut dan penyakit ini dinamakan 'angular stomatitis'. Biasanya bibir atas dan bawah menjadi retak yang dinamakan 'cheilosis'. Tanda-tanda ini dapat dirasai dengan rasa panas atau gatal dalam mata dan tidak menggemari cahaya terang (photophobia).

Vitamin C dikenali juga sebagai "Asid askorbik" yang amat penting bagi kesinambungan hidup dan kesihatan tubuh. Ia berperanan dalam menambahkan ketahanan badan daripada jangkitan, menjaga kesihatan gusi dan gigi serta menolong menyembuhkan luka-luka dengan segera.

Sumber-sumber yang terbaik vitamin C diperolehi dari buah-buahan seperti betik, jambu batu, belimbing besi dan nenas. Manakala punca dari sayur-sayuran seperti cili, kailan, cekur manis, bayam, kangkung dan taugeh.

Vitamin C bersifat larut dalam air. Malah ia mudah musnah oleh sinar matahari dan susu yang tinggi. Oleh itu, sayur-sayuran hendaklah jangan dimasak terlalu lama manakala buah-buahan perlu dihindari dari kepanasan cahaya matahari yang terlalu kerap.

Pengambilan vitamin C perlu diseimbangkan setiap kali disajikan dan wajar dielakkan daripada berlakunya kekurangan vitamin-vitamin berkenaan. Jika vitamin C ini berkurangan, ia boleh mengakibatkan penyakit kudis "scurvy", iaitu sejenis penyakit kurang zat makanan. Pada hakikatnya, tanda-tanda penyakit kudis scurvy seperti sakit mulut, gusi berdarah, gigi bergoyang dan kulit mudah berdarah.

Hasil beberapa kajian serta penyelidikan oleh saintis, didapati bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran berupaya menjauhkan penyakit tersebut. Dengan itu, amat baik bagi kanak-kanak yang menyusu melalui botol dan puting diberikan kepada mereka jus buah-buahan dan pati sayur-sayuran bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit kudis scurvy. Di samping itu, ia boleh membantu merawat luka-luka dan patah tulang menjadi sembuh bahkan ia juga bertindak sebagai pencegah pengoksidan selulor yang paling penting.

Anggaran Kuantiti Sayur-sayuran dan Buah-buahan Yang Perlu Dimakan Sehari

     Sumber: Unit Pendidikan dan Unit Pemakanan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan
Negeri Kelantan.

Garam Galian

Garam galian bukan organan juga merupakan kumpulan makanan yang dapat menjauhkan penyakit. Antara garam galian terpenting yang turut disenaraikan sebagai juzuk pemakanan harian adalah terdiri dari Zat Besi dan Kalsium.

Zat Besi dikenali juga sebagai "Ferum". Menurut Dr. Y.H.Chong, ferum dalam badan manusia banyak didapati dalam hemoglobin zarah darah merah yang membawa oksigen dari paru-paru ke sel dan membawa kembali karbon dioksida dari sel-sel ke paru-paru. Di samping itu, ferum juga didapati dalam beberapa enzim pernafasan yang menjalankan pengoksidan selulor dan boleh didapati dalam otot-otot protein yang bernama "Myoglobin".

Sumber-sumber ferum juga boleh diperoleh daripada dua unsur iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Antara unsur-unsur haiwan termasuk hati, udang kering, ikan kering, ikan bilis, kerang dan belacan. Manakala unsur daripada tumbuh-tumbuhan pula seperti kekacang, sayur-sayuran dan kacang soya.

Namun begitu menurut Dr. Y.H.Chong lagi, dalam kadar 2 hingga 10 peratus sahaja ferum dapat diserapkan daripada sajian. Dengan demikian, unsur-unsur dari haiwan itu merupakan juzuk pemakanan yang dapat menyerapkan ferum dengan banyak berbanding dengan sajian makanan daripada tumbuh-tumbuhan.

Peranan ferum amat penting dalam menolong sel darah merah. Oleh sebab itu, kekurangan ferum boleh menyebabkan penyakit anemia (kurang darah). Tanda-tanda akibat kekurangan darah menjadikan lidah dan selaput pelupuk bawah mata kelihatan pucat, letih dan degupan jantung tidak seimbang malah berdebar-debar.

Selain itu, ferum akan turut hilang seandainya badan kehilangan darah. Berikutan itu, antara golongan yang perlu memakan banyak kadar ferum untuk menggantikan darah yang hilang itu adalah terdiri daripada:

1. Wanita-wanita yang sudah baligh.
2. Wanita-wanita yang haid dan bersalin.
3. Orang ramai yang tinggal dalam kawasan penyakit malaria dan penyakit cacing.

Kalsium

Pengambilan Kalsium dalam sumber makanan harian juga perlu diberikan perhatian khusus. Peranan kalsium adalah untuk pembesaran tulang dan gigi yang sihat , mencegah daripada penyakit kenan tulang, pembebanan biasa darah dan kegunaan otot-otot bertugas dengan sempurna.

Sumber-sumber terbaik kalsium meliputi makanan-makanan daripada haiwan seperti susu dan ikan bilis (bersama-sama tulang). Manakala daripada tumbuh-tumbuhan pula seperti bayam, sawi kelor (termasuk buah dan daun), pucuk betik, pucuk ubi kayu dan cekur manis.

Justeru di negara kita, banyak daripada sumber makanan mempunyai pelbagai khasiat, vitamin dan garam galian tertentu, keistimewaan dan peranannya terhadap kesihatan manusia. Tetapi perlu diingat, pemilihan yang tepat terhadap makanan yang baik, bermutu dan sempurna adalah daripada sumber-sumber yang asli dan segar. Ia terdapat di sekeliling kita dan boleh diperolehi dengan mudah malah secara percuma. Bahkan makanan yang baik dan bermutu tidak semestinya terletak pada harganya yang tinggi, sebaliknya jika anda menganggapkannya berharga murah, namun dalam konteks kesihatan manusia pula, ia dapat menampung khasiat makanan dengan banyak dan boleh menjimatkan belanja.



Makanan seimbang: Masyarakat kita memandang remeh dan tidak peka terhadapnya. 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 5 Julai 2013

Misteri Lembaga Berbulu


MISTERI LEMBAGA BERBULU

WAKAF BAHARU, KELANTAN Sememangnya, kebanyakan kes makhluk halus, individu yang lemah semangat pastinya menjadi mangsa diganggu atau disakat makhluk halus di sesuatu kawasan atau tempat makhluk halus itu berhenti. Makhluk halus memang mengetahui mangsa manakah yang boleh diganggu, kerana aura makhluk berkenaan dapat melihat ke dalam diri manusia. Apatah lagi, jika mangsa berkenaan sememangnya mempunyai saka yang juga dari kalangan jin yang menghuni dalam tubuh manusia memberi kelebihan kepada makhluk berkenaan untuk mendekati manusia.

Kejadian mangsa diganggu atau disakat makhluk halus terutamanya di kawasan tanah perkuburan bukanlah suatu perkara baru atau cerita yang sengaja direka-reka untuk menakutkan orang ramai yang sering berlaku pada waktu malam. Jika di siang hari kejadian seumpamanya boleh berlaku, namun jika mangsa diganggu pada waktu malam membuktikan waktu malam menjadi kegemaran makhluk ghaib itu untuk berkeliaran, bersuka ria dan bekerja kerana di waktu terbabit merupakan pertukaran siang kepada malam bermula pada waktu Maghrib. Nabi S.A.W  sendiri pernah melarang umat-umat Islam supaya tidak cenderung menjalankan aktiviti yang tidak berfaedah pada waktu malam kecuali untuk tujuan menuntut ilmu.

Kejadian yang berlaku terhadap mangsa pada 13 September, 2009 di sebuah tanah perkuburan Islam di Kampung Chenderung Batu Timur, Wakaf Baharu dekat sini  itu adalah sebuah kubur lama sejak tahun 1969 lagi. Sejak itu, kubur berkenaan dikatakan sering menjadi tempat makhluk halus untuk bersantai, namun kebanyakan mangsa terpaksa mendiamkannya kerana malu untuk menceritakannya kepada orang lain.

Jika mangsa yang lemah semangat terserempak dengan makhluk berkenaan pastinya mangsa akan terperanjat besar. Namun, sesetengah koloni makhluk halus akan menumpang bersama mangsa sama ada bertenggek di belakang kenderaan seperti motosikal atau kereta, namun kejadian makhluk halus bertenggek di atas tubuh mangsa juga adalah sesuatu yang patut dielakkan. Ini kerana, di lain masa mangsa perlu berhati-hati untuk tidak menjadikan waktu malam untuk melakukan aktiviti yang tidak sesuai.

Kejadian mangsa ditumpangi makhluk berbulu (lazimnya penduduk kampung memanggilnya "hantu raya") terutamanya di kawasan laluan tanah perkuburan memang sering berlaku. Apatah lagi jika makhluk berkenaan menjadikan tubuh manusia sebagai tempat bertenggek. Makhluk ini akan mengikut ke mana sahaja mangsa pergi sehingga mangsa pulang dan masuk ke dalam rumah, makhluk ghaib itu akan menurutnya juga.

Seorang warga emas, Siti binti Idris, 78, dari Kampung Chenderung Batu Timur, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, kejadian mangsa bertempik kerana makhluk berbulu itu menumpang di belakang mangsa sememangnya berlaku. Ini kerana, mangsa yang mengalaminya telah melalui tanah perkuburan yang terletak di belakang rumahnya itu pada pukul 12.00 malam.

"Mangsa terbabit bersama seorang anaknya sedang membonceng di atas motosikal. Mangsa melalui tanah perkuburan di kampung ini pada pukul 12.00 malam.

"Dengan tiba-tiba mangsa bertempik dengan suara yang agak nyaring, seperti terkejutkan sesuatu", ujar Siti ketika menceritakan kejadian mangsa tersebut kepada Wartawan RELATIF.

Siti berkata, beberapa ketika kemudiannya mangsa cuba mendapatkan bantuannya untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun beliau tidak dapat membantu kerana beliau sendiri tidak begitu arif dalam hal gangguan tersebut. Selepas itu, mangsa mendapatkan bantuan dari salah seorang jirannya yang terdekat supaya membekalkan surah Yassin untuk dibacanya bagi menghindarkan ketakutan dan gangguan makhluk itu.

Menurut Siti, ketika kejadian mangsa terbabit adalah seorang wanita sedang memboncengkan anaknya pada waktu malam, di mana selain mangsa mendapat gangguan itu, anaknya juga mengalami hal yang sama apabila dirasakan makhluk halus tersebut seperti sedang menumpang di atas belakangnya dan selepas itu berpindah di belakang anaknya pula.

Katanya, mangsa bukan sahaja dapat merasakan bentuk fizikal tubuh makhluk itu yang sememangnya berbulu yang menekan dirinya dan anaknya, namun mangsa sendiri dapat melihat makhluk halus berbulu itu berada di belakangnya dan selepas itu anaknya pula menyebabkan mangsa bertempik kerana berasa agak takut dan terkejut.

"Ketika mangsa berhenti sebentar di rumah meminta bantuan mak su, mak su bertanya mangsa datang dari mana. Mangsa memberitahu mak su, beliau datang dari rumah salah seorang warga emas di kampung ini bernama Deraman.

"Mak su tanya lagi, untuk apa ke rumah itu. Katanya, beliau berasal dari Wakaf Baharu, datang ke rumah Deraman kerana ada hal penting. Selepas kejadian itu, mangsa takut untuk pulang ke rumahnya kerana bimbang dengan kejadian yang sama sewaktu pulang nanti", ujar Siti.

Siti menambah, akibat dari kejadian yang baharu dialami, mangsa gementar dan menjadi takut malah tidak dapat berkata-kata disebabkan kejadian itu. Menurut Siti, kubur Kampung Chenderung Batu Timur adalah sebuah perkuburan Islam paling lama sejak tahun 1969 lagi di mana penduduk-penduduk kampung terbabit mendakwa kubur berkenaan agak keras dengan pelbagai gangguan. Katanya, kawasan itu pada masa dulu sering menjadi tempat pihak tertentu yang mengamalkan ajaran khurafat dengan memberikan jamuan kepada jin belaan masing-masing sehinggakan berlakunya kejadian seumpama itu.

Tambah Siti, walaupun kawasan perkuburan terbabit adalah perkuburan Islam, namun amalan yang bertentangan dengan Islam masih menebal di kalangan segelintir masyarakat pada waktu itu dengan mempercayai jin-jin itu sebagai keramat, penolong dan boleh dijadikan sahabat.

Jin, apabila dijadikan sahabat dalam segala aktiviti harian mulailah makhluk berkenaan naik tocang. Menjadi amalan segelintir penduduk pada waktu itu yang menganggap jin-jin sebagai pelindung diri untuk mengelakkan diganggu oleh manusia lain supaya berasa takut terhadapnya. Dengan demikian, apabila tuannya meninggal, mulailah jin-jin terbabit berkeliaran dan mengamuk kerana tidak lagi mendapat makanan, habuan dan layanan istimewa sebagaimana dari tuannya sebelum ini. Padahnya, orang lain pula yang menjadi mangsa dan kejadian diganggu oleh lembaga dari kubur itu adalah salah satu masalah yang berpunca dari jin-jin tersebut.

Justeri, Siti berpesan kepada mangsa supaya segera mengambil wuduk malah pada malam itu juga penduduk-penduduk kampung terbabit menunaikan solat hajat secara berjemaah dalam usaha menangkis gangguan makhluk halus terbabit terhadap mangsa.  

Siti binti Idris.

Siti ketika menceritakan kejadian misteri mangsa kepada Wartawan RELATIF.

Inilah laluan dari kubur yang terletak di belakang rumah Siti.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH