MISTERI JELMAAN BAPA
TANAH MERAH, KELANTAN: BERBUAL kosong dan bercakap besar adalah suatu sikap yang tidak berfaedah, kadang-kadang boleh memakan diri dan membawa natijah buruk atau berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diduga.
Inilah kejadian yang menimpa Wan Azrai Wan Zawawi, 19, atau lebih dikenali sebagai Apy dari Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan ketika menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF apabila sikapnya yang suka bercakap besar di siang hari itu membawa akibat kepada dirinya sendiri apabila pada sebelah malamnya beliau telah disakat oleh lembaga yang menakutkan.
Menurut Wan Azrai, kejadian diganggu makhluk halus sering berlaku di rumah atuknya di mana atuknya ketika itu mengalami masalah kesihatan dan sering uzur. Atuknya ketika itu hanya tinggal berdua saja dengan neneknya yang sudah tua di mana persekitaran rumah atuknya itu masih dilingkungi hutan yang agak tebal malahan berjauhan pula dengan jiran-jirannya yang lain.
Katanya, berdasarkan apa yang diketahuinya kawasan perkampungan yang dihuni oleh atuknya ketika itu walaupun bersebelahan dengan rumah bapa dan ibunya sekeluarga, namun kawasan terbabit dikatakan pernah dihuni sekumpulan makhluk halus yang sering berkeliaran, tempat makhluk itu bermain dan bergurau-senda. Hanya dewasa ini, rumah atuk dan neneknya boleh dilihat dengan jelas dari arah jalan raya. Walau bagaimanapun, kejadian yang telah menimpanya ketika bermalam di rumah atuknya bersama ibu dan bapanya untuk melihat keadaan kesihatan atuknya sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.
Katanya, kelemahannya ialah mulutnya yang tidak dapat ditutup, ada-ada saja hal yang ingin dihambur dan dibualkan. Kejadian beliau sering bercakap besar dan gemar berseloroh tentang "makhluk halus" yang sering mendengar sikap dan tabiat manusia pernah diingatinya dan jenaka yang pernah dikeluarkan dari mulutnya berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2011 dan 2012.
Menurutnya, pengalaman yang ingin dikongsi olehnya ialah kejadian yang berlaku pada bulan November 2011 ketika beliau tidur di rumah atuknya bersama sepupunya seramai tiga orang. Ketika beliau berada di rumah atuknya bersama tiga orang sepupunya itu beliau membicarakan tentang makhluk halus yang masih ada di kawasan itu dengan katanya "kalau jumpa, makhluk halus itu akan diterajangnya".
Selepas beliau "bercakap besar" pada waktu siangnya, pada malam terbabit iaitu kira-kira jam 10.00 malam, beliau cuba menguak jendela untuk melihat keadaan di luar yang masih gelap pekat. Beberapa saat sahaja beliau menutup jendela rumah atuknya itu dengan tiba-tiba beliau terdengar ketukan di luar jendela sebanyak tiga kali.
"Pada mulanya saya menyangka bapa salah seorang sepupu saya yang bertugas sebagai tentera datang pada malam terbabit untuk memaklumkan kepada anaknya yang di tidur rumah itu.
"Tetapi secara tiba-tiba saya berasa seram juga, sebabnya tidak mungkin bapanya akan berbuat begitu. Kalau dikatakan jiran atuknya datang lewat malam juga tidak munasabah kerana rumahnya agak jauh apatah lagi dikelilingi semak-samun pula.
"Saya ingin intai dari lubang jendela, tetapi ibu saya menegahnya lalu meminta saya menutup jendela itu rapat-rapat. Ibu memberitahu, kejadian itu sebenarnya saya diganggu makhluk halus disebabkan saya bercakap besar dan hal yang bukan-bukan", katanya ketika menceritakan pengalaman bermalam di rumah atuknya bersama tiga sepupunya pada malam kejadian.
Katanya menambah, pada malam yang seterusnya, beliau dapat melihat lembaga terbabit telah menjelma seumpama wajah dan bentuk fizikal bapanya pula sedang duduk berdekatan dengan tempat atuknya yang sedang baring di mana ketika itu atuknya sedang menderita penyakit strok.
Menurut Wan Azrai, pada masa mudanya atuknya memang seorang ahli pesilat yang hebat dan disegani selain pandai berbomoh. Dia tidak pasti, adakah disebabkan ilmu silat dan ilmu bomoh yang dimiliki oleh atuknya itu sebagai penyebab jelmaan makhluk halus terbabit. Makhluk halus itu didakwa telah menjelma dalam rupa dan bentuk fizikal yang seiras seperti bapanya sedang mengelilingi atuknya yang sedang sakit itu di mana kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.00 pagi. Beliau dapat melihat jelmaan itu setelah tersedar dari tidurnya kerana berasa ingin melepaskan hajat, jelmaan fizikal bapanya memang amat jelas.
Walau bagaimanapun katanya, ibunya sempat mengherdik dan meminta makhluk halus itu pulang ke tempat asalnya dan tidak lagi mengganggu atuknya yang sedang sakit. Dalam beberapa saat sahaja, makhluk itu ghaib secara tiba-tiba.
Kata Wan Azrai lagi, kejadian berikutnya turut dialami oleh bapa saudaranya yang sedang menurap bata di bahagian dapur rumahnya. Katanya, tempat yang diturap itu perlu ditutup kerana sering dimasuki "toyol". Ini dikuatkan lagi dengan bukti apabila pagi esoknya didapati wujud kesan sebelah tapak kaki yang agak pelik di kawasan yang dimaksudkan dan beliau agak toyol itu datang dari arah itu.
"Pada awalnya, bapa saudara saya menyangka tapak kaki itu seperti tapak kaki anak perempuannya. Tetapi apabila diamati, didapatinya agak berbeza di antara tapak kaki makhluk itu dengan manusia. Tapak kaki makhluk toyol itu agak kecil sementara tapak kaki anak perempuannya itu agak besar juga.
"Malahan jika ingin dibandingkan dengan tapak kaki kucing juga berbeza. Tapi, saya tak pasti sama ada tapak kaki pelik yang dimaksudkan itu masih ada lagi atau tidak", ujarnya.
Berikutan kejadian tersebut, pernah beberapa kali bomoh dipanggil untuk mengesan kehadiran makhluk halus terbabit. Daripada dakwaan bomoh itu, pada masa dulu kawasan terbabit pernah ditanam pokok salak yang turut menjadi kegemaran makhluk itu bermain dan membina penempatan. Namun, hari ini pokok salak itu tiada lagi kerana telah ditebang dan dibakar oleh ibunya kerana jika dilihatnya agak cacat mata yang memandangnya disebabkan tumbuhnya bersebelahan rumah pula.
Sejak kejadian itu, beliau tidak lagi suka berseloroh atau bercakap besar kerana dengan membicarakan hal-hal berkenaan tentunya akan menimbulkan implikasi terhadap dirinya sendiri, kerana salah satunya menjadi kemarahan makhluk halus yang sentiasa mendengarnya.
Wan Azrai Wan Zawawi atau Apy.
Wan Azrai ketika ditemubual Wartawan RELATIF.
Jendela inilah yang diketuk oleh makhluk halus pada malam terbabit.
Di sinilah pokok salak itu tumbuh.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan