RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Sabtu, 20 April 2013

Misteri Tempayan Emas


MISTERI TEMPAYAN EMAS

WAKAF BAHARU, KELANTAN KHAZANAH "emas" memang harta yang agak bernilai, pelik dan bermisteri. Orang-orang tua di zaman lampau mempercayai "emas asli" seperti ini dijaga atau dikawal oleh penunggunya iaitu "jin". Sebab itulah, emas walaupun dikatakan logam yang kelihatannya seperti batu, logam ini boleh bergerak dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat tertentu kerana dibawa oleh jin itu. Dalam konteks ini, ada juga individu yang menafikan emas itu dipikul oleh makhluk yang tidak kelihatan itu. Walaupun begitu, banyak kes individu yang menemui emas terutamanya dalam sebuah "guri" atau dipanggil "tempayan" dengan tiba-tiba bergolek sendiri, siapakah yang membawanya kalau tidak makhluk halus itu?

Malahan rezeki memiliki emas asli ini hanya diperolehi orang-orang tertentu sahaja. Bukan sahaja emas berkenaan diperlihatkan secara berdepan dan sepontan, malah ada juga emas seumpama ini diperlihatkan melalui mimpi. Dakwaan orang-orang yang memperolehi emas melalui kedua-dua cara berkenaan memang benar kerana mungkin disebabkan rezeki yang tidak diduga, individu atau keluarga terbabit memperolehinya dengan cara yang sedemikian, dengan syarat individu yang diperlihatkan dengan logam berkilau itu perlulah mengambilnya seorang diri tanpa diberitahu kepada sesiapa dan tidak ditemani oleh sesiapa.

Pengalaman bermimpi dapat melihat kilauan satu tempayan emas sebagaimana yang dialami oleh ibu Saerah binti Ismail, 54, atau lebih dikenali sebagai Kak Rah yang menetap di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Baharu, Kelantan adalah sesuatu yang dianggap menakjubkan. Walaupun mimpi yang sama juga turut dialami oleh tiga penduduk lain dari kampung yang sama untuk menunjukkan cerita berkenaan bukan dongengan.

Kampung Dusun Langgar yang terletak dalam daerah Wakaf Baharu, Kelantan memang tersohor dalam "Sejarah Kelantan" kerana di tempat inilah terletaknya makam Raja Long Sulaiman bin Long Baha (ayahanda Long Yunus) yang memerintah dua kerajaan serentak sebagai Raja Kelantan Timur berpusat di Kota Pengkalan Datu (kini dekat Kota Bharu) serta sebagai wakil Kelantan Barat yang berpusat di Kota Kubang Labu (kini di Wakaf Baharu). Raja Long Sulaiman terbunuh dalam serangan Legeh ke atas Kelantan pada tahun 1756 lalu dimakamkan di tempat tersebut.

Ibu Saerah yang semakin uzur pernah beberapa kali merungut tentang kehidupan mereka yang terlalu sukar, serba daif dan miskin, apatah lagi penduduk-penduduk Kampung Dusun Langgar mendengar berita tentera Jepun akan menyerang kawasan kampung itu dari arah Pantai Cinta Berahi (kini Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu). Disebabkan tertekan dengan keadaan yang daif itulah menyebabkan ibunya mengeluh beberapa kali, sudahlah hidup miskin Jepun ula akan menyerang penempatan mereka.

Mungkin juga disebabkan ramai penduduk kampung berkenaan yang di dalam keadaan sukar untuk memperolehi sesuap makanan di mana kebanyakan makanan yang ada terpaksa dicatu, selain sukarnya melihat wang ringgit ibarat "kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang", Allah Maha Mendengar keluhan di hati mereka ketika itu. Di antara ada kaitan atau tidak dengan kejadian bermimpikan dapat melihat kilauan satu tempayan emas adalah sesuatu yang cukup misteri. Jika bukan, tentunya penduduk-penduduk kampung itu tidak akan mengalami mimpi yang sama sebagaimana yang dialami oleh ibunya ketika itu.

Katanya, kejadian mimpi itu sering berlaku kira-kira jam 2.00 pagi di mana ibunya ketika itu sedang berbicara dengan satu suara yang entah dari mana datangnya. Suara itu bertanya kepada ibunya adakah ibunya ingin kaya atau tidak. Kata suara itu lagi, jika ibunya ingin kaya, berita berkenaan tidak wajar diberitahu kepada orang lain termasuklah kepada suaminya sendiri.

"Suara itu meminta ibu saya ke satu tempat tanpa memberitahu orang lain termasuklah abah saya sendiri (suami ibunya) dan jika syarat ini dipatuhi, segala masalah keluarganya akan selesai.

"Jika ibu saya berharapkan rezeki yang lebih baik, ibu saya diminta keluar dari rumah pukul 3.00 pagi dengan hanya membawa sebilah tukul sahaja. Ini kerana, satu tempayan emas itu telah menjelma dan bergolek di kawasan yang dimaksudkan.

"Ibu saya diminta menggunakan tukul itu untuk memukul atau mengetuk tempayan yang berisi emas itu supaya pecah di bahagian telinganya. Jika ibu saya seorang yang berani, itulah rezeki untuknya sekeluarga dan segala masalah akan selesai", katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya di kampung terbabit.

Tambah Saerah, tempayan itu mengandungi beraneka jenis emas yang paling berharga hanya diberikan kepada ibunya jika ibunya berani ke tempat yang dimaksudkan. Tempayan emas itu boleh dilihat di sebuah makam di kampung tersebut.

Saerah berkata, kegunaan tukul itu pula sebagaimana yang diminta oleh satu suara dalam mimpi ibunya itu ialah digunakan untuk mengetuk tempayan yang dikatakan berisi emas itu sahaja. Apabila tempayan berkenaan diketuk, tempayan yang telah pecah itu tidak lagi dapat bergerak (hidup) ke sana ke mari kerana dikatakan tempayan itu sememangnya dipegang atau dijaga oleh jin yang sentiasa membawa dan mengawalnya setiap masa. Hanya ibunya sahaja diminta supaya mengetuknya sedikit dan benda itu akan dapat diperolehi dengan mudah, syaratnya supaya berani ke tempat itu.

"Selepas ibu saya tersedar dari mimpinya, ibu saya merungut bagaimana dia dapat pergi ke tempat yang dimaksudkan dalam keadaan seorang diri pada pukul 3.00 pagi. Tentunya ibu saya akan berasa takut untuk pergi bersendirian ke makam itu", jelasnya yang juga dari keturunan Kesultanan Raja Jembal di kampung itu.

Tambahnya lagi, jika ibunya berhati tegap dan berani menempuh dugaan untuk ke tempat itu tentunya ibunya akan memperolehi emas sebagaimana kilauan dalam mimpinya pada masa itu. Malah kejadian berkenaan sering berlaku sebanyak dua kali sebelum ini berhubung hal yang sama iaitu meminta ibunya mendapatkan tempayan berisi emas itu dengan segera jika ingin membebaskan diri dari belenggu kemiskinan buat selama-lamanya.

Katanya, selepas tiga kali ketiga kejadian berkenaan diberitahu kepada suaminya menyebabkan ibunya tidak lagi diberikan mimpi yang seumpamanya sebab hal berkenaan memang bersyarat iaitu tidak wajar diberitahu kepada orang lain termasuk suaminya sendiri dan hal yang sedemikian perlu diuruskannya sendiri. Selepas ibunya memaklumkannya kepada suaminya buat kali ketiga, mimpi tersebut tidak lagi dialami oleh ibunya sehingga ibunya meninggal dunia.

Menurut Saerah, ternyata mimpi yang hampir sama sebanyak tiga kali itu sebenarnya untuk memberikan peluang kepada ibunya mendapatkan harta sedemikian dengan mudah di makam yang dimaksudkan hanya sekadar berani sahaja ke tempat itu. Selepas kali ketiga mimpi itu diberitahu kepada suaminya dan disebarkan kepada kaum keluarganya yang lain, mimpi menariknya itu tidak lagi hadir sebagaimana sebelumnya. Malah katanya, semua mimpi itu hanya diberitahu kepada kaum wanita sahaja sebagai syarat berani atau tidak tanpa memaklumkannya kepada kaum lelaki.

Kata Saerah, selepas mendapat mimpiitu ibunya memang bangun seorang diri untuk mencari sebilah tukul yang dimaksudkan, tetapi apabila ditanya oleh suami ibunya tentang tujuannya pada pagi hari kejadian, ibunya segera membatalkan hasratnya. Kata arwah ibunya, kita memang tidak kaya, tapi kalau "Wan" (bahasa terhadap ibunya) dapat pergi selepas mimpi itu, tentunya keluarganya akan memperolehi sedikit sebanyak dari rezeki harta karun itu. Memang ibunya dapat melihat dengan jelas kilauan jongkong emas dalam sebuah tempayan besar sebagaimana dalam mimpi yang dialaminya ketika itu.

Sambungnya, apa yang diketahui oleh ibunya terdapat "harta karun" itu telah ditinggalkan oleh raja yang turut dimakamkan di situ sebanyak "dua tempayan emas" yang juga turut ditanam di situ untuk mengelakkan dari dirampas oleh tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941. Dikatakan di makam tersebut masih wujud khazanah bernilai seperti rantai, gelang dan sebagainya sehingga hari ini, namun tidak ada individu yang berani ke tempat itu apatah lagi syaratnya hanya wanita sahaja yang perlu datang mengambilnya.

Justeru, memang dua tempayan emas dikatakan ditanam di kawasan terbabit. Harta itu kemudiannya ditanda dengan satu objek yang tidak diketahui apakah objek yang dimaksudkan. Kini, harta karun yang tertanam di kawasan terbabit dianggap "misteri" kerana tiada penduduk yang sanggup berusaha untuk mengambilnya kerana kawasan itu makam raja yang perlu dihormati dan tinggallah harta itu sebagai kenangan dalam mimpi.

Saerah binti Ismail atau Kak Rah.

Kak Rah ketika menceritakan pengalaman ibunya kepada Wartawan RELATIF.


Di makam inilah tempayan emas itu muncul.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 10 April 2013

Misteri Jelmaan Bapa


MISTERI JELMAAN BAPA

TANAH MERAH, KELANTAN: BERBUAL kosong dan bercakap besar adalah suatu sikap yang tidak berfaedah, kadang-kadang boleh memakan diri dan membawa natijah buruk atau berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diduga.

Inilah kejadian yang menimpa Wan Azrai Wan Zawawi, 19, atau lebih dikenali sebagai Apy dari Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan ketika menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF apabila sikapnya yang suka bercakap besar di siang hari itu membawa akibat kepada dirinya sendiri apabila pada sebelah malamnya beliau telah disakat oleh lembaga yang menakutkan.

Menurut Wan Azrai, kejadian diganggu makhluk halus sering berlaku di rumah atuknya di mana atuknya ketika itu mengalami masalah kesihatan dan sering uzur. Atuknya ketika itu hanya tinggal berdua saja dengan neneknya yang sudah tua di mana persekitaran rumah atuknya itu masih dilingkungi hutan yang agak tebal malahan berjauhan pula dengan jiran-jirannya yang lain.

Katanya, berdasarkan apa yang diketahuinya kawasan perkampungan yang dihuni oleh atuknya ketika itu walaupun bersebelahan dengan rumah bapa dan ibunya sekeluarga, namun kawasan terbabit dikatakan pernah dihuni sekumpulan makhluk halus yang sering berkeliaran, tempat makhluk itu bermain dan bergurau-senda. Hanya dewasa ini, rumah atuk dan neneknya boleh dilihat dengan jelas dari arah jalan raya. Walau bagaimanapun, kejadian yang telah menimpanya ketika bermalam di rumah atuknya bersama ibu dan bapanya untuk melihat keadaan kesihatan atuknya sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.

Katanya, kelemahannya ialah mulutnya yang tidak dapat ditutup, ada-ada saja hal yang ingin dihambur dan dibualkan. Kejadian beliau sering bercakap besar dan gemar berseloroh tentang "makhluk halus" yang sering mendengar sikap dan tabiat manusia pernah diingatinya dan jenaka yang pernah dikeluarkan dari mulutnya berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2011 dan 2012.

Menurutnya, pengalaman yang ingin dikongsi olehnya ialah kejadian yang berlaku pada bulan November 2011 ketika beliau tidur di rumah atuknya bersama sepupunya seramai tiga orang. Ketika beliau berada di rumah atuknya bersama tiga orang sepupunya itu beliau membicarakan tentang makhluk halus yang masih ada di kawasan itu dengan katanya "kalau jumpa, makhluk halus itu akan diterajangnya".

Selepas beliau "bercakap besar" pada waktu siangnya, pada malam terbabit iaitu kira-kira jam 10.00 malam, beliau cuba menguak jendela untuk melihat keadaan di luar yang masih gelap pekat. Beberapa saat sahaja beliau menutup jendela rumah atuknya itu dengan tiba-tiba beliau terdengar ketukan di luar jendela sebanyak tiga kali.

"Pada mulanya saya menyangka bapa salah seorang sepupu saya yang bertugas sebagai tentera datang pada malam terbabit untuk memaklumkan kepada anaknya yang di tidur rumah itu.

"Tetapi secara tiba-tiba saya berasa seram juga, sebabnya tidak mungkin bapanya akan berbuat begitu. Kalau dikatakan jiran atuknya datang lewat malam juga tidak munasabah kerana rumahnya agak jauh apatah lagi dikelilingi semak-samun pula.

"Saya ingin intai dari lubang jendela, tetapi ibu saya menegahnya lalu meminta saya menutup jendela itu rapat-rapat. Ibu memberitahu, kejadian itu sebenarnya saya diganggu makhluk halus disebabkan saya bercakap besar dan hal yang bukan-bukan", katanya ketika menceritakan pengalaman bermalam di rumah atuknya bersama tiga sepupunya pada malam kejadian.

Katanya menambah, pada malam yang seterusnya, beliau dapat melihat lembaga terbabit telah menjelma seumpama wajah dan bentuk fizikal bapanya pula sedang duduk berdekatan dengan tempat atuknya yang sedang baring di mana ketika itu atuknya sedang menderita penyakit strok.

Menurut Wan Azrai, pada masa mudanya atuknya memang seorang ahli pesilat yang hebat dan disegani selain pandai berbomoh. Dia tidak pasti, adakah disebabkan ilmu silat dan ilmu bomoh yang dimiliki oleh atuknya itu sebagai penyebab jelmaan makhluk halus terbabit. Makhluk halus itu didakwa telah menjelma dalam rupa dan bentuk fizikal yang seiras seperti bapanya sedang mengelilingi atuknya yang sedang sakit itu di mana kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.00 pagi. Beliau dapat melihat jelmaan itu setelah tersedar dari tidurnya kerana berasa ingin melepaskan hajat, jelmaan fizikal bapanya memang amat jelas.

Walau bagaimanapun katanya, ibunya sempat mengherdik dan meminta makhluk halus itu pulang ke tempat asalnya dan tidak lagi mengganggu atuknya yang sedang sakit. Dalam beberapa saat sahaja, makhluk itu ghaib secara tiba-tiba.

Kata Wan Azrai lagi, kejadian berikutnya turut dialami oleh bapa saudaranya yang sedang menurap bata di bahagian dapur rumahnya. Katanya, tempat yang diturap itu perlu ditutup kerana sering dimasuki "toyol". Ini dikuatkan lagi dengan bukti apabila pagi esoknya didapati wujud kesan sebelah tapak kaki yang agak pelik di kawasan yang dimaksudkan dan beliau agak toyol itu datang dari arah itu.

"Pada awalnya, bapa saudara saya menyangka tapak kaki itu seperti tapak kaki anak perempuannya. Tetapi apabila diamati, didapatinya agak berbeza di antara tapak kaki makhluk itu dengan manusia. Tapak kaki makhluk toyol itu agak kecil sementara tapak kaki anak perempuannya itu agak besar juga.

"Malahan jika ingin dibandingkan dengan tapak kaki kucing juga berbeza. Tapi, saya tak pasti sama ada tapak kaki pelik yang dimaksudkan itu masih ada lagi atau tidak", ujarnya.

Berikutan kejadian tersebut, pernah beberapa kali bomoh dipanggil untuk mengesan kehadiran makhluk halus terbabit. Daripada dakwaan bomoh itu, pada masa dulu kawasan terbabit pernah ditanam pokok salak yang turut menjadi kegemaran makhluk itu bermain dan membina penempatan. Namun, hari ini pokok salak itu tiada lagi kerana telah ditebang dan dibakar oleh ibunya kerana jika dilihatnya agak cacat mata yang memandangnya disebabkan tumbuhnya bersebelahan rumah pula.

Sejak kejadian itu, beliau tidak lagi suka berseloroh atau bercakap besar kerana dengan membicarakan hal-hal berkenaan tentunya akan menimbulkan implikasi terhadap dirinya sendiri, kerana salah satunya menjadi kemarahan makhluk halus yang sentiasa mendengarnya.

Wan Azrai Wan Zawawi atau Apy.

Wan Azrai ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Jendela inilah yang diketuk oleh makhluk halus pada malam terbabit.


 
Di sinilah pokok salak itu tumbuh.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH