TAMAN REKREASI AIR PANAS LA
(LA HOT SPRING)
HULU BESUT, TERENGGANU: TAMAN REKREASI AIR PANAS LA atau sebutan popularnya di kalangan pengunjung memanggilnya "La Hot Spring" terletak di Kampung La di pedalaman Hulu Besut iaitu kira-kira 28 kilometer dari bandar Jerteh, Terengganu. Menurut portal Majlis Daerah Besut (MDB), pusat pelancongan yang dikenali sebagai La Hot Spring ini telah dibuka dengan rasminya kepada orang ramai pada tahun 1992 sempena Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.
Setibanya pengunjung di pintu masuk Taman Rekreasi Air Panas La, untuk masuk ke tempat yang dimaksudkan anda perlu membayar tol bernilai RM1 setiap seorang. Lazimnya, pengunjung memenuhi taman rekreasi ini apabila tibanya hari cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti umum. Taman rekreasi ini sering dikunjungi bersama keluarga bukan sahaja terdiri dari penduduk tempatan, namun paling ramai yang datang ke kolam air panas ini kebanyakannya pengunjung-pengunjung dari Kelantan.
Salah seorang pengunjung dari Pasir Puteh, Kelantan memberitahu Wartawan RELATIF, walaupun terdapat beberapa kolam air panas yang agak tersohor di di Kelantan seperti Kolam Air Panas Tok Bok, Machang dan Tanah Merah, tetapi beliau lebih menggemari La Hot Spring kerana tempat berkenaan agak tersohor dan menjadi tumpuan umum dari pelbagai peringkat usia sama ada kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Secara tidak langsung katanya, dapat menghubungkan silaturrahim dan bertanya khabar tentang daerah masing-masing di taman tersebut.
Kolam air panas ini dibina berikutan wujudnya aliran air panas dari celah-celah batu yang dikatakan turun dari bukit yang terletak di bahagian atas kolam berkenaan. Air hangat ini mengandungi belerang atau sulfur dengan kehangatan airnya mencecah 49 darjah Celcius, tetapi pada hari-hari tertentu air hangat ini boleh mencapai sehingga 60 darjah Celcius. Air hangat ini selain boleh menyegarkan tubuh yang tidak bermaya dan kusam, ia dikatakan mempunyai khasiat terutamanya boleh merawat penyakit kulit.
Di Taman Rekreasi Air Panas La ini diwujudkan beberapa kemudahan khusus kepada orang ramai seperti parkir kenderaan, kolam air hangat buatan seperti spa, rumah rehat bernilai RM40 semalam, pondok rehat, kerusi rehat, restoran dan gerai makanan ringan, tandas awam, kolam mandi untuk kanak-kanak serta sebuah jambatan yang menghubungkan ke kolam air panas tersebut. Malahan bagi pengunjung yang tidak menggemari kehangatan air kolam terbabit, mereka boleh bergembira sambil mandi-manda, menyelam dan berenang di sebuah kolam air terjun di sebuah jeram yang letaknya di hujung taman rekreasi ini.
Walaupun terdapat beberapa kemudahan yang disediakan tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh pengunjung akibat cacat dan mengalami kerosakan seperti tandas yang tidak mempunyai bekalan air, masalah sampah di beberapa tempat di taman rekreasi ini dan beberapa buah rumah rehat yang agak uzur dan tidak mempunyai pintu, namun pengunjung tetap membanjiri Taman Rekreasi Air Panas La yang lebih dikenali sebagai La Hot Spring kerana mereka akan memperolehi hiburan secara asli dan total apabila berkunjung ke tempat berkenaan.
Papan tanda dan Pejabat Urus Setia.
Air hangat (belerang) keluar dari celah-celah batu ini terus mengalir ke kolam.
Pemandangan di Taman Rekreasi Air Panas La.
Parkir kenderaan juga disediakan.
Sebuah rumah rehat yang masih boleh digunakan.
Pondok rehat.
Kerusi rehat.
Alat permainan kanak-kanak.
Tandas awam (lelaki dan wanita).
Kolam mandi kanak-kanak.
Kolam mandi kanak-kanak.
Sebuah jambatan yang menghubungkan taman melintasi jeram.
Inilah jeram yang dimaksudkan.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan