RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 20 Januari 2013

Hindari Dukun Cabul


HINDARI DUKUN CABUL

MARAKNYA usaha ahli pengubatan spiritual ternyata bukan sahaja melahirkan "trade mark" tersendiri di berbagai kelas masyarakat, namun juga membuka peluang terjadinya penyalah gunaan profesion.

Seperti yang menimpa Puan Ros (bukan nama sebenar), seorang suri rumah yang cantik jelita ingin berubat dengan seorang yang dikatakan pintar, ternyata harus menyerahkan kesucian dirinya hingga membuahkan janin haram. Peristiwa ini terjadi di sebuah rumah seorang dukun di sekitar Kuala Lumpur.

Seperti yang dituturkan oleh Puan Ros yang memiliki kulit kuning langsat, dirinya seperti terpukau hingga tanpa beliau sedar telah rela dijamah oleh dukun cabul tersebut. Bahkan peristiwa itu terjadi berulang kali kerana ketajaman ilmu pukau dukun itu. Akibat hubungan badan yang terjadi secara tidak semestinya itu, Puan Ros mengandung. Kerana takut diketahui oleh suaminya, dengan sangat menyesal beliau telah menggugurkan kandungannya.

Kejadian kedua, berlaku kepada Puan Norhayati (bukan nama sebenar), seorang guru yang menghadapi konflik rumahtangga. Beliau tidak pernah dilayani oleh suaminya sebagai seorang isteri selama 15 tahun. Untuk mengatasi mmasalahnya, beliau telah pergi bertemu dengan seorang "bomoh muda" yang diketahuinya melalui iklan di akhbar tabloid. Beliau telah menceritakan segala masalahnya kepada bomoh itu dan tanpa disedari oleh beliau, beliau telah menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada bomoh cabul itu.

Oleh kerana beliau tidak pernah dibelai dan dimanjakan sebagaimana bomoh cabul itu telah melakukan terhadapnya, beliau tidak menyesal apa yang terjadi pada hari itu. Ia berlalu seolah-olah kejadian buruk itu tidak pernah berlaku padanya.

Cara Atasi

Berikut ini, beberapa tips yang mungkin boleh membantu para ibu atau puteri remaja yang ingin mendapatkan rawatan kepada salah seorang dukun atau bomoh atau perawat spiritual agar sejarah hitam itu tidak berulang kembali.

1. Jangan memakai pakaian mini dan nipis

Kebanyakan pesakit amat tidak mengambil kisah mengenai pakaian mereka yang boleh mendorong berlakunya kejahatan seksual seperti mengenakan pakaian yang nipis dan seksi sehingga mencabar keberahian perawat itu.

Ketahuilah, bomoh dan dukun atau siapa sahaja perawat adalah manusia biasa yang mudah terdorong dengan kesempatan syahwat. Kerana itu, jika anda tidak ingin diperlakukan seperti kejadian di atas, jagalah pakaian anda. Sebenarnya, ada banyak cara kita berpakaian hingga memperkuatkan benteng pertahanan kita terhadap segala jenis kejahatan seksual bomoh dan dukun.

2. Bawa teman ketika masuk bilik

Sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang perawat spiritual atau bomoh akan mengadakan sesi rawatannya di dalam atau luar bilik. Ada segelintirnya cuma pesakit seorang sahaja yang dibenarkan masuk dengan alasan rawatannya tidak boleh dilihat oleh orang lain. Alasan ini sering diakur oleh kebanyakan pesakit. Namun, anda boleh mengatakan bahawa anda tidak dapat masuk tanpa ditemani oleh rakan yang anda kenali.

Kalaupun wujudnya paksaan, lebih baik tangguhkan sahaja niat anda. Apabila anda menurut kehendaknya, anda pasti akan berada di pihak yang lemah, apabila anda seorang diri bersamanya di dalam bilik. Bomoh dan dukun itu akan memberikan seribu jenis alasan untuk menyentuh tubuh anda. Tetapi jika ditemani, tidak-tidaknya, niat buruk bomoh dan dukun itu boleh dihindari.

Seorang teman yang bersama anda akan dapat membantu anda sekiranya sesuatu yang terjadi atau sekurang-kurangnya dapat melahirkan daya segan di hati bomoh itu.

3. Pastikan pintu bilik tidak berkunci

Perkara ini amat penting sekali. Kadangkala, pesakit tidak dapat melarikan diri sekiranya pintu terkunci. Tentunya jangan terjadi kepada diri anda. Pintu yang terbuka dan tidak berkunci jauh lebih baik kerana bomoh dan dukun itu tidak dapat melakukan apa-apa yang di luar dugaan anda selama proses rawatan dijalankan.

Kalaupun berlaku sedikit paksaan, gunakan alasan yang lembut dan halus seperti meminta kebenaran untuk keluar dengan alasa untuk mengambil sesuatu barang yang tertinggal di dalam kereta atau alasan lain yang membolehkan anda keluar.

Kepastian yang paling halus ialah tentang keadaan bilik apakah terkunci atau tidak adalah dengan beralasan setiap saat anda keluar masuk bilik, sehingga tidak ada alasan bagi bomoh atau dukun cabul itu untuk menolak permintaan anda.

4. Gunakan tolakan halus jika permintaan berlebihan

Bomoh dan dukun akan menggunakan apa juga cara untuk mencuri kesempatan. Di antaranya dengan meminta kepada pesakit yang bukan-bukan seperti menanggalkan pakaian, menyentuh bahagian yang peka dan sensitif serta melakukan tindakan yang membangkitkan berahi. Padahal semua itu sama sekali tidak ada hubungannya dengan proses penyembuhan dan terapi.

Penolakan halus boleh dilakukan melalui pelbagai alasan dengan mengatakan bahawa perkara itu dilarang oleh agama. Namun, jika bomoh atau dukun seolah-olah telah melakukan paksaan, maka tinggalkan saja tempat itu demi menjaga maruah diri anda. Kerana mencegah jauh lebih baik dari mengubati. Tentu saja kaedah yang terbaik dalam hal sedemikian adalah menggunakan penolakan halus tetapi tegas sehingga bomoh itu tidak berasa kecewa atau marah.

5. Bersikaplah kritis jangan pasif

Jangan terburu-buru dalam mengikut permintaan bomoh atau dukun. Jika anda, terburu-buru membuat keputusan, anda memang berada dalam situasi cengkaman bomoh itu. Segala permintaan bomoh akan anda penuhi. Tentu saja keadaan ini yang menjadikan kedudukan anda menjadi lemah.

Sebaiknya, dalam setiap rawatan yang akan dibuat, tanyalah terlebih dahulu. Bomoh atau dukun tidak akan melakukan sesuatu yang aneh terhadap anda kerana anda begitu pandai berhelah dengannya. Tentu sahaja, tidak semua permintaan bomoh itu anda menolaknya mentah-mentah kecuali jika permintaannya berlebihan atau keterlaluan. Seorang bomoh dan dukun pastinya akan berasa kagum dan malu kerana mungkin hanya anda satu-satunya pesakit yang menolak perintahnya

Inilah, betapa kaedah bersikap kritis dan aktif boleh dijadikan senjata andaian kerana sifatnya melemahkan termasuk membatalkan niat jahat, jika memang itu terjadi.         

Profesor Dr. Haji Shahrin Abd. Rahman.

 Pusat Rawatan Qalbun Salim miliknya.


Teks:
PROFESOR DR. HAJI SHAHRIN BIN ABD.RAHMAN
Pengasas Pusat Rawatan Qalbun Salim

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH  

Khamis, 10 Januari 2013

La Hot Spring (Besut,Terengganu)


TAMAN REKREASI AIR PANAS LA
(LA HOT SPRING)

HULU BESUT, TERENGGANU:  TAMAN REKREASI AIR PANAS LA atau sebutan popularnya di kalangan pengunjung memanggilnya "La Hot Spring" terletak di Kampung La di pedalaman Hulu Besut iaitu kira-kira 28 kilometer dari bandar Jerteh, Terengganu. Menurut portal Majlis Daerah Besut (MDB), pusat pelancongan yang dikenali sebagai La Hot Spring ini telah dibuka dengan rasminya kepada orang ramai pada tahun 1992 sempena Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.

Setibanya pengunjung di pintu masuk Taman Rekreasi Air Panas La, untuk masuk ke tempat yang dimaksudkan anda perlu membayar tol bernilai RM1 setiap seorang. Lazimnya, pengunjung memenuhi taman rekreasi ini apabila tibanya hari cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti umum. Taman rekreasi ini sering dikunjungi bersama keluarga bukan sahaja terdiri dari penduduk tempatan, namun paling ramai yang datang ke kolam air panas ini kebanyakannya pengunjung-pengunjung dari Kelantan.

Salah seorang pengunjung dari Pasir Puteh, Kelantan memberitahu Wartawan RELATIF, walaupun terdapat beberapa kolam air panas yang agak tersohor di di Kelantan seperti Kolam Air Panas Tok Bok, Machang dan Tanah Merah, tetapi beliau lebih menggemari La Hot Spring kerana tempat berkenaan agak tersohor dan menjadi tumpuan umum dari pelbagai peringkat usia sama ada kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Secara tidak langsung katanya, dapat menghubungkan silaturrahim dan bertanya khabar tentang daerah masing-masing di taman tersebut.

Kolam air panas ini dibina berikutan wujudnya aliran air panas dari celah-celah batu yang dikatakan turun dari bukit yang terletak di bahagian atas kolam berkenaan. Air hangat ini mengandungi belerang atau sulfur dengan kehangatan airnya mencecah 49 darjah Celcius, tetapi pada hari-hari tertentu air hangat ini boleh mencapai sehingga 60 darjah Celcius. Air hangat ini selain boleh menyegarkan tubuh yang tidak bermaya dan kusam, ia dikatakan mempunyai khasiat terutamanya boleh merawat penyakit kulit.

Di Taman Rekreasi Air Panas La ini diwujudkan beberapa kemudahan khusus kepada orang ramai seperti parkir kenderaan, kolam air hangat buatan seperti spa, rumah rehat bernilai RM40 semalam, pondok rehat, kerusi rehat, restoran dan gerai makanan ringan, tandas awam, kolam mandi untuk kanak-kanak serta sebuah jambatan yang menghubungkan ke kolam air panas tersebut. Malahan bagi pengunjung yang tidak menggemari kehangatan air kolam terbabit, mereka boleh bergembira sambil mandi-manda, menyelam dan berenang di sebuah kolam air terjun di sebuah jeram yang letaknya di hujung taman rekreasi ini.

Walaupun terdapat beberapa kemudahan yang disediakan tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh pengunjung akibat cacat dan mengalami kerosakan seperti tandas yang tidak mempunyai bekalan air, masalah sampah di beberapa tempat di taman rekreasi ini dan beberapa buah rumah rehat yang agak uzur dan tidak mempunyai pintu, namun pengunjung tetap membanjiri Taman Rekreasi Air Panas La yang lebih dikenali sebagai La Hot Spring kerana mereka akan memperolehi hiburan secara asli dan total apabila berkunjung ke tempat berkenaan.


Papan tanda dan Pejabat Urus Setia.

 

Nikmat berendam dalam kolam air panas (dalam foto: Penulis berbaju biru muda).


Air hangat (belerang) keluar dari celah-celah batu ini terus mengalir ke kolam.

Pengunjung sedang menikmati kehangatan air kolam.

Pemandangan di Taman Rekreasi Air Panas La.

Parkir kenderaan juga disediakan.

Sebuah rumah rehat yang masih boleh digunakan.


Keadaan rumah rehat yang uzur dan tidak berpintu. 


Pondok rehat.

Kerusi rehat.

Alat permainan kanak-kanak.

Tandas awam (lelaki dan wanita).


Kolam mandi kanak-kanak.


Sebuah jambatan yang menghubungkan taman melintasi jeram.


Inilah jeram yang dimaksudkan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 1 Januari 2013

Kampung Batu Balai (Kuala Krai)


KAMPUNG BATU BALAI
(KUALA KRAI)

KUALA KRAI, KELANTAN KAMPUNG BATU BALAI mendapat nama berikutan penemuan sebongkah batu yang agak besar, anehnya batu tersebut hanya hidup dan membesar sendirian di kawasan itu sahaja. Batu tersebut dikenali sebagai "batu balai" dan panjangnya lebih kurang sedepa.

Sejarah dinamakan Kampung Batu Balai adalah berpunca dari nama batu itulah. Pada masa dulu, keadaan batu balai itu agak tinggi yang boleh memuatkan satu hidangan seramai lima orang, disebabkan kepercayaan tahyul penduduk setempat pada waktu itu, jika ada penduduk yang kurang sihat seperti demam misalnya, maka batu balailah tempat mereka mendapatkan rawatan dengan katanya, "sekiranya demam ini sembuh, mereka akan meletakkan panji".

Menurut seorang penduduk asal Kampung Batu Balai yang merupakan seorang bekas askar Melayu dari generasi ketiga, Haji Daud bin Che Leh, 78, atau lebih dikenali sebagai Pak Tua ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya berkata, batu balai berkenaan ditemui oleh peneroka awal, Dameh bin Muda dan selepas itu Tok Hamat dan Tok Jenal yang telah menamakan kampung berkenaan. Mereka kemudiannya turut membina rumah dan menanam padi, sebahagian tanahnya telah dijadikan perkampungan dan tanah perkuburan.

"Seingat pakcik, tanaman getah baru diperkenalkan di Kampung Batu Balai pada tahun 1938. Ketiga-tiga mereka adalah penduduk asal Kampung Batu Balai ini.

"Kampung Batu Balai ini diteroka sebelum zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan ketika pemberontakan Tok Janggut di Pasir Puteh, Kampung Batu Balai ini sudahpun wujud dan kampung ini dianggap kampung terawal diteroka. Manakala Che Lah Salleh dan Hamat Dollah adalah dari generasi kedua iaitu selepas Perang Dunia kedua", ujarnya.

Katanya, pada masa sebelum penemuan bongkah batu balai dan dinamakan Kampung Batu Balai, nama asal kampung berkenaan dikenali sebagai Sungai Pangang (dialek Kelantan: Sungai Pange) kerana penghuni asalnya ialah orang asli keturunan Pangang mendiami kawasan terbabit. Keadaan hutan pada masa itu agak tebal malah turut dihuni pelbagai spesis haiwan buas seperti harimau dan gajah. Malah katanya, ketika usia remaja Pak Tua, haiwan buas itu masih lagi tinggal dalam hutan berkenaan sehinggalah Kampung Batu Balai diteroka dan mendapat nama.

Bicara Pak Tua, beliau pernah memburu harimau dan gajah yang cuba mengganggu perkampungan berkenaan ketika itu. Salah satu sebabnya, harimau terbabit pernah membaham lembu yang diternaknya, harimau tersebut terus ditembak. Begitu banyak monyet yang mengganggu gugusan kelapa di kampung itu terpaksa ditembak, jika tidak beliau tidak akan dapat menikmati hasil buahnya akibat gangguan haiwan tersebut yang datang dari kawasan Kampung Aril, Besut, Terengganu. Sehingga hari ini katanya, haiwan tersebut tidak lagi mengganggu ketenangan dan ketenteraman panduduk di Kampung Batai Balai.

Katanya menambah, Dameh bin Muda adalah seorang pemuda yang berani dan gagah. Beliau didakwa seorang anak berdarah panglima dikenali Panglima Mamat dari Pengkalan Datu dekat Kedai Lalat, Kota Bharu. Kini, keluarga ketiga-tiga peneroka tersebut sudahpun meninggal dunia dan kini Batu Balai diwarisi oleh Pak Tua dari generasi ketiga iaitu cucu Dameh bin Muda.

Sambungnya, Kampung Batu Balai mempunyai keluasan kira-kira 6.44 kilometer (4 batu). Ketika kedatangan Inggeris yang menempatkan askar Gurkha dan Bintang Tiga, ketiga-tiga pihak berkenaan memang mengetahui tentang Kampung Batu Balai ketika itu yang letaknya dalam Mukim Senok.

Katanya, antara kampung yang bernaung di bawah Kampung Batu Balai terdiri dari Kampung Belukar Tebu, Kampung Paloh, Kampung Bukit Batu, Kampung Bukit Jambu, Kampung Tengah dan Kampung Surau. Kampung Belukar Tebu dan Kampung Batu Balai pernah menjadi tempat laluan tentera Jepun yang mendirikan markas mereka di Kuala Krai ketika penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.

Jelas Pak Tua, kebanyakan aktiviti penduduk Kampung Batu Balai sekarang adalah rata-ratanya sebagai pekerja buruh seperti pekerja balak dan terdapat juga sebagai pekerja pejabat dan pekerja kampung. Jumlah penduduk Kampung Batu Balai menurut bancian terbaru kira-kira 500 buah rumah.

Apabila ditanya, adakah bongkah batu yang dinamakan batu balai itu pernah dihanyutkan air dari sebuah bukit. Pak Tua menjelaskan, batu balai bukan dihanyutkan air dari sebuah bukit tetapi batu balai memang wujud di situ sejak dulu lagi. Bezanya batu balai pada masa dulu agak besar dan tinggi, tetapi bagi individu yang ingin menapak di atasnya perlu memanjatnya. Malahm pada masa dulu, batu balai boleh memuatkan satu jamuan seramai lima orang di atasnya. Tetapi kini, batu balai telah semakin landai dan turun akibat perubatan alam dan struktur tanah yang semakin turun.

"Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu, nama Kampung Batu Balai telah wujud dalam peta pihak tentera Jepun. Mereka masuk mengikut Sungai Batu Katak dan dari sungai itu tentera Jepun menyusur melalui hutan belantara ke laluan Kampung Batu Balai untuk ke markas mereka di Kuala Krai.

"Asal nama Kuala Krai telah diabadikan oleh seorang Ketua Tentera Jepun dikenali oleh penduduk-penduduk kampung sebagai "Tuan Klepek". Ketika kedatangan Jepun, pakcik ketika itu dalam lingkungan kanak-kanak berusia 10 tahun. Kain sarung sering diletakkan di atas bahu", ujarnya.

Katanya, pihak tentera Jepun tidak pernah menjadikan Kampung Batu Balai sebagai markas atau penempatan, tetapi sekadar sebagai laluan singkat tentera dari negara Matahari Terbit itu untuk ke markas mereka yang pada masa itu terletak di Hospital Besar Kuala Krai, tentera Jepun mengajar kawat kepada tentera mereka di situ. Kampung Batu Balai ketika itu telah dijadikan sebagai kawasan penanaman padi dan padi hidup subur di kawasan itu. Arwah bapanya banyak menyimpan batu dalam jumlah beribu-ribu gantang. Ini bermakna, ibu dan bapanya tidak pernah membeli beras untuk simpanan makanan kerana telah mengusahakan sendiri padi yang dianggap berkoyan-koyan dan tidak habis makan.

Tambahnya, dalam mengusahakan padi, dari proses menyemai, menanam, mengetam dan menumbuk padi (menggunakan lesung lama) adalah amalan yang sering dilakukan di Kampung Batu Balai pada masa itu. Aktiviti menumbuk menggunakan lesung kini masih lagi diamalkan di rumah panjang di Sabah ketika ini.

Sambung Pak Tua, ketika Jepun menjajah Malaya terutamanya di Kuala Krai, kebanyakan penduduk di Kampung Batu Balai dapat makan hasil padi yang diusahakan kerana penduduk di kampung berkenaan agak cerdik dengan menyorok padi terbabit untuk digunakan ketika waktu darurat terutamanya ketika pemerintahan Jepun itu, Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu pada tahun 1941 terutamanya di Kuala Krai, usianya ketika itu dalam lingkungan 10 tahun.

Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan mereka meninggalkan Tanah Melayu apatah lagi British juga turut meninggalkan Tanah Melayu, pada masa itu seingat beliau askar Melayu hanya tujuh anggota sahaja yang diambil oleh pihak British sebagai percubaan.  

Pak Tua ketika beliau dalam askar Melayu.  

Haji Daud bin Che Leh atau Pak Tua.

Pak Tua (kanan) ketika ditemubual Penulis (kiri) di kediamannya.

Papan tanda menghala ke arah Kampung Batu Balai.

Seorang anak Pak Tua sedang membersihkan kawasan batu balai.

 Inilah wajah batu balai yang semakin landai dan tenggelam.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
ANIS SABIRIN BIN AZMI